Solari bangga aksi luar biasa JDT

Kesebelasan JDT mempamerkan aksi luar biasa bagi menewaskan Ulsan Hyundai. - Foto FB Johor Southern Tigers
Kesebelasan JDT mempamerkan aksi luar biasa bagi menewaskan Ulsan Hyundai. - Foto FB Johor Southern Tigers
A
A
A

PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Esteban Solari menyifatkan skuad kendaliannya telah mempamerkan kesungguhan luar biasa bagi menewaskan Ulsan Hyundai pada aksi Kumpulan I, Liga Juara-Juara AFC (ACL), di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, pada Selasa.

Menurut Solari, kesemua pemain telah mempamerkan aksi terbaik di sepanjang perlawanan bagi menewaskan juara Liga 1, Korea Selatan itu dan sekali gus membuka peluang buat skuad Harimau Selatan itu untuk merebut slot ke pusingan 16 selepas ini.

“Aksi malam ini (Selasa), adalah berbeza dengan perlawanan di Stadium Ulsan Munsu sebelum ini....kali ini kami bertahan dan bermain dengan lebih baik.

“Namun bagi saya apa yang paling penting kali ini adalah pada perlawanan ini ia menyerlahkan karakter pasukan yang tidak pernah menyerah ketika beraksi di atas padang dan ia nyata berjaya diterjemahkan kali ini.

“Lagi pun, saya yakin, kita mampu memenangi perlawanan ini berdasarkan kepada perlawanan sebelum ini,” katanya pada sidang akhbar sejurus tamat perlawanan.

Pada aksi di hadapan hampir 20,000 penonton itu, pemain gantian Akhyar Rashid muncul wira skuad Harimau Selatan apabila menjaringkan gol kedua yang juga merupakan gol kemenangan pada minit ke-87.

Sebelum itu, pemain import JDT, Herberty Fernandes membuka jaringan pada minit ke-44, namun pemain Ulsan Hyundai, Atarau Esaka menyamakan kedudukan pada minit ke-69.

Kemenangan itu menyaksikan skuad Harimau Selatan itu berkongsi enam mata dengan Ulsan Hyundai di belakang pendahulu, Kawasaki Frontale yang mengumpul 12 mata hasil kemenangan 4-1 ke atas BG Pathum United dalam satu lagi perlawanan Kumpulan I, pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu Solari berkata, kemenangan berkenaan bakal menjadi bekal semangat terbaik buat skuad kendaliannya itu menjelang aksi berdepan Kawasaki Frontale di Stadium Todoroki, 28 November depan.

“Kami masih berpeluang (mara ke pusingan 16) dan sudah tentu kami tidak mahu langkah ‘kanan’ kami ini terhenti di sini kerana kami percaya kami mampu menjadi pasukan yang lebih baik berbanding hari ini.

“Inilah semangat yang kami miliki...di mana kami tidak pernah puas dengan pencapaian kami dan mahukan sesuatu yang lebih hebat.

“Namun apa yang pasti, ia bukan satu tugas yang mudah dan kami akan ke Jepun dengan satu matlamat iaitu memberikan tentangan hebat dan seterusnya mencari jalan untuk mara,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!