Konsert Armada Band diiringi air mata kenang nasib Palestin
PERSEMBAHAN selama dua jam kumpulan Armada Band yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu pada Sabtu lalu bukan saja membawa penonton menyanyi bersama tetapi turut menyentuh hati sehingga ada yang mengeluarkan air mata mengenang nasib rakyat di bumi Palestin.
Rizal Adi merupakan vokalis kumpulan dari Indonesia itu mengakui sedikit emosi ketika melakukan persembahan sulungnya di Sabah apabila terkenangkan kanak-kanak di Palestin ketika ini.
Menurutnya, pendedahan daripada media sosial menunjukkan kanak-kanak menjadi mangsa kekejaman menyebabkan dia terpanggil untuk membawa penonton supaya bersama-sama mendoakan kesejahteraan rakyat Palestin.
"Tiba-tiba saya terkenang anak-anak kami yang masih kecil selepas melihat apa yang terjadi di sana di mana korban paling banyak ialah kanak-kanak. Kanak-kanak ini seperti anak-anak kami yang masih kecil.
"Itu yang saya teringat (ketika konsert) dan tidak tahu bagaimana tiba-tiba keluar air mata," katanya ketika ditemui pemberita selepas selesai mengadakan konsert itu.
Selain menghiburkan penonton pada konsert itu, Rizal turut mengambil peluang menyampaikan luahannya kepada peminat menerusi lagu-lagu Armada Band yang berunsurkan cinta dan dalam masa sama menyampaikan pendiriannya yang menyokong rakyat di Palestin.
Sehubungan itu, Rizal bersyukur kerana konsert di Sabah berjaya menambat hati ribuan penonton sehingga ke akhirnya menerusi 15 lagu yang dipersembahkan.
"Alhamdulillah di Armada kami mempunyai lagu yang tidak kalah terkenal dan terbukti daripada semua lagu, semuanya ikut menyanyi serta tenaganya sama dari awal hingga akhir.
"Memang rata-rata lagu Armada memang bercerita tentang hubungan percintaan, mohon maaf kalau ada rakan yang sampai mengeluarkan air mata, menangis kerana ini salah satu risiko menonton Armada iaitu mengembalikan memori kegalauan mereka tetapi insya-ALLAH semuanya pulang dengan gembira," katanya.
Beliau dalam pada itu berharap Armada Band akan mengadakan konsert yang seterusnya di Malaysia khususnya buat warga Borneo.
"Melihat penonton dan juga tenaga mereka berikan luar biasa, jadi sangat menyenangkan untuk kita membuat persembahan di sini walaupun ia pertama kali.
"Kita berdoa ini bukan yang kali terakhir kami datang ke sini, mungkin dua atau tiga bulan lagi kami akan datang ke sini," katanya.
Antara lagu popular yang dibawa Armada Band termasuklah Penantian, Asal Kau Bahagia, Buka Hatimu, Pergi Pagi Pulang Pagi dan beberapa lagu yang turut hits sejak bertapak dalam industri muzik di Indonesia.
Selain Rizal Adi, Armada Band dianggotai gitaris, Andika Maihendra atau Mai dan pemain dram, Meri Yand atau Andit,
Konsert Armada Janji Bahagia itu dibawakan oleh penganjur daripada Jeeharris Corporation, Harris Baba.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!