[VIDEO] 4 anggota polis didakwa terima rasuah lepas tahanan

A
A
A

SEREMBAN - Empat anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah bagi tujuan melepaskan tahanan, Ogos lalu.

Tertuduh Lans Koperal Mohamad Ikhwan Shafiq Mohammad, 27, Koperal Muhammad Syahar Sansudin@ Samsudin, 34, Lans Koperal Muhammad Adib Hanizin, 27 dan Koperal Muhammad Ruzaini Firdaus Ismail, 34, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.

Kesemua tertuduh diiring pegawai SPRM ketika hadir ke mahkamah.
Kesemua tertuduh diiring pegawai SPRM ketika hadir ke mahkamah.

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh dengan niat bersama telah secara rasuah meminta suapan wang tunai berjumlah RM3,000 dan menerima RM800 daripada seorang perempuan berusia 37 tahun sebagai dorongan untuk melepaskan dua anak lelakinya daripada tahanan polis kerana disyaki melakukan kesalahan memiliki dadah jenis syabu.

Kesalahan itu dilakukan pada 24 Ogos lalu jam lebih kurang 12 tengah malam dan 3 pagi di Balai Polis Gemencheh, Tampin.

Berikutan itu tertuduh didakwa telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 16(a) (A)Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun, didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Artikel Berkaitan:

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Azriff Firdaus Mohammad menawarkan jaminan RM10,000 bagi setiap tertuduh.

Peguam, Azrul Zulkifli Stork memohon mahkamah mengenakan jaminan yang rendah terhadap kesemua tertuduh yang telah pun berkahwin serta mempunyai tanggungan.

Mahkamah menetapkan jaminan RM3,500 dengan seorang penjamin dan perlu melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Melaka sekali setiap bulan sehingga kes selesai.

Sebutan semula kes 12 Disember ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!