Dr Kjey persiapkan diri lakar rekod baharu dunia tahun depan
LIPIS - Pelatih kecergasan, K Jey Prabakaran Thevar, 26 atau lebih dikenali Dr Kjey kini giat melakukan persiapan untuk melakarkan rekod baharu dunia dan Asia bagi senaman kardio dan angkat berat pada tahun depan.
Sebelum ini, pada 23 Julai lalu, anak jati Pahang kelahiran Lipis itu berjaya mencatatkan tempoh selama 12 jam tanpa henti, sekali gus melakar rekod dalam Influencer Book of World Records dan Malaysia Book of Records (MBOR).
Anak bongsu daripada empat beradik itu mencatatkan rekod tersebut dengan menggunakan lebih 20 peralatan seperti treadmill, dumbell, barbell dan diberikan masa lapan minit keseluruhan untuk ke tandas sepanjang tempoh tersebut.
"Saya amat teruja untuk berkongsi bahawa saya telah memulakan perjalanan latihan untuk rekod dunia dan Asia yang baharu pada tahun depan, dan persediaan telah bermula dengan sepenuhnya sejak November ini.
"Latihan dilakukan sebanyak tiga kali sehari selama enam hari seminggu dengan diet strategik dengan lapan makanan kecil sehari untuk tenaga badan saya," kata pemuda tersebut sambil memberitahu latihan banyak dilakukan di sini dan juga di Kuala Lumpur.
Mengakui cabaran yang bakal menanti, beliau memberitahu tempoh latihan yang komited selama lima bulan bermula November ini.
Ujar beliau, latihan akan lebih mencabar daripada sebelumnya, tetapi sudah bersedia untuk menghadapinya.
Beliau juga memberitahu merancang untuk menjalani latihan di luar negara untuk pengalaman tambahan.
"Saya rasa tidak ada tekanan untuk mencipta rekod ini kerana saya tahu apa yang perlu dilakukan dan bila melakukannya.
"Dengan tekad dan fokus, saya berazam untuk membuat negara dan negeri Pahang tercinta saya bangga," tambah beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!