820 anggota APM Pahang bersiap sedia hadapi kemungkinan banjir
KUANTAN - Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pahang bersiap sedia menggerakkan anggota dan asetnya bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula Sabtu ini.
Pengarahnya, Kolonel Pertahanan Awam (PA) Che Adam A Rahman berkata, seramai 820 pegawai dan anggota APM Pahang telah bersiap siaga menghadapi kemungkinan itu.
Menurutnya, kekuatan keanggotaan itu membabitkan 67 pegawai dan 753 anggota yang akan bertugas di 11 daerah di negeri ini.
"Semua pegawai dan anggota sudah menjalani latihan intensif di sungai dan tasik sejak sebulan lalu sebagai persediaan untuk operasi bantuan serta penyelamatan.
"Bagi menghadapi MTL kali ini, APM Pahang bersiap sedia dengan aset terdiri 67 kenderaan air iaitu bot jenis aluminium dan gentian kaca serta bot amfibia untuk operasi menyelamat mangsa banjir," katanya ketika dihubungi di sini pada Rabu.
Che Adam berkata, sekiranya banjir berlaku, operasi bantuan dan penyelamatan mangsa banjir turut dibantu Pasukan Sukarelawan Tindak Balas Kecemasan Pertahanan Awam (CDERT) yang ditubuhkan di peringkat komuniti.
"Pasukan sukarela itu telah dilatih dan dipersiapkan untuk menghadapi kemungkinan banjir di kawasan masing-masing.
"CDERT komuniti ditubuhkan di beberapa kawasan di seluruh daerah di negeri ini telah menjalani latihan sejak dua bulan lalu," katanya.
Beliau berkata, pasukan itu akan terus berhubung dengan Pegawai APM Daerah atau Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah sebagai responder pertama di kawasan mereka jika banjir berlaku termasuk kejadian banjir kilat.
Sementara itu, tambahnya, empat daerah iaitu Kuantan, Temerloh, Maran dan Lipis yang sering berdepan bencana banjir akan diberi perhatian.
"Bagaimanapun daerah lain turut diberikan tumpuan justeru pihak kami akan sentiasa memantau keadaan cuaca terutama hujan lebat melalui Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) sebagai persediaan awal," katanya.
Beliau menasihatkan penduduk yang tinggal di kawasan berisiko banjir agar peka dengan maklumat daripada pihak berkuasa dan jika banjir berlaku, segera berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) yang disediakan sekiranya diberi arahan berbuat demikian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!