Tanpa Ronaldo tiada masalah buat Al-Nassr

Talisca meledak hatrik ketika membantu Al-Nassr menewaskan Al-Duhail 3-2 dalam saingan Liga Juara-Juara Asia di Qatar awal pagi Rabu. - Foto AFP.
Talisca meledak hatrik ketika membantu Al-Nassr menewaskan Al-Duhail 3-2 dalam saingan Liga Juara-Juara Asia di Qatar awal pagi Rabu. - Foto AFP.
A
A
A

TANPA kelibat bintang sensasi, Cristiano Ronaldo tiada masalah buat Al-Nassr untuk mengekalkan rekod bersih dalam saingan Liga Juara-Juara Asia di Qatar awal pagi Rabu.

Kelab Arab Saudi itu membenam Al-Duhail 3-2 menerusi ledakan hatrik penyerang Brazil, Anderson Talisca di Doha.

Ronaldo yang menyumbat dua gol ketika kemenangan 4-3 ke atas lawan sama di Riyadh dua minggu lalu direhatkan oleh pengendali, Luis Castro.

Dalam aksi di Stadium Antarabangsa Khalifa itu, Al-Nassr bangkit daripada ketinggalan selepas jaringan pembuka tirai pasukan tuan rumah menerusi sentuhan Philippe Coutinho pada minit kelapan.

Bekas pemain tengah Liverpool dan Barcelona itu menyempurnakan hantaran Michael Olunga untuk gol pertamanya dalam saingan Liga Juara-Juara Asia.

Al-Nassr bagaimanapun bangkit dalam tempoh 10 minit terakhir separuh masa pertama dengan dua gol Talisca - hasil umpanan Abdulrahman Ghareeb dan Sadio Mane.

Talisca melengkapkan hatrik selepas menyudahkan hantaran Ghareeb pada minit ke-65.

Duhail merapatkan jurang menerusi sepakan penalti Coutinho pada minit ke-80, sebelum pemain gantian tuan rumah, Khaled Mohammed dibuang padang dalam masa kecederaan.

Artikel Berkaitan:

Menerusi kemenangan itu, Al-Nassr mengutip 12 mata selepas empat perlawanan untuk memimpin Kumpulan E.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!