23 institusi pendidikan terima geran daripada MAIDAM
KUALA TERENGGANU - Sebanyak 23 institusi pendidikan di seluruh Terengganu menerima geran tahunan majikan daripada Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) bernilai lebih RM960,000 bagi tahun 2022.
Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, Profesor Madya Dr Ahmad Azrin Adnan berkata, geran ini bertujuan untuk membantu pelajar yang terdiri daripada golongan asnaf fakir dan miskin di sekolah serta universiti untuk mendapatkan bantuan kewangan selain keperluan asas lain.
"Geran Tahunan Majikan ini juga sebagai galakan kepada guru-guru untuk membuat Potongan Zakat Berjadual dengan MAIDAM.
"Semakin ramai guru yang membuat potongan gaji, semakin ramai pelajar asnaf yang dapat dibantu.
"Geran bernilai lebih RM960,000 ini dapat dimanfaatkan sebanyak 23 institusi pendidikan di seluruh negeri," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian selepas Program Tahunan Majikan MAIDAM di sini pada Rabu.
Katanya, program ini turut dihadiri seramai 1,100 guru dan pensyarah di seluruh Terengganu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!