Kuarters imigresen masih kurang, 145 dalam senarai menunggu

Saifuddin (dua dari kiri) tiba di Pangsapuri Aliff Sejahtera, Tampoi pada Rabu.
Saifuddin (dua dari kiri) tiba di Pangsapuri Aliff Sejahtera, Tampoi pada Rabu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor masih mengalami kekurangan kuarters untuk pegawai dan kakitangannya.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, berdasarkan statistik semasa, terdapat 145 permohonan yang masih dalam senarai menunggu menduduki kuarters di negeri ini.

Katanya, mengambil kira kadar kos sara hidup semasa di bandar raya Johor Bahru, keperluan tempat tinggal anggota JIM cukup penting terutama bagi mereka yang berasal luar dari Johor.

"Buat masa ini, sebanyak 506 unit kuarters milik JIM Johor telah diisi iaitu meliputi 73 peratus daripada keseluruhan 697 unit.

"Baki unit yang tidak dihuni pula merujuk kepada kuarters yang sedang diselenggara serta unit yang terlibat dalam tempoh transisi pertukaran keluar masuk penghuni," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani pembelian secara en-bloc Pangsapuri Aliff Sejahtera, Tampoi bagi kediaman kakitangan Jabatan Imigresen Johor di sini pada Rabu.

Pangsapuri Aliff Sejahtera di Tampoi bagi kediaman kakitangan Jabatan Imigresen Johor.
Pangsapuri Aliff Sejahtera di Tampoi bagi kediaman kakitangan Jabatan Imigresen Johor.

Pembelian secara en-bloc Pangsapuri Aliff Sejahtera, melibatkan kos RM41.08 juta itu, antara lain merangkumi 72 unit pangsapuri perkhidmatan, lapan unit ruang kedai, 11 unit pejabat dan pelbagai kemudahan lain yang berkaitan.

Artikel Berkaitan:

Saifuddin menambah, pada masa kini bilangan pegawai dan kakitangan paling tinggi di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) iaitu seramai 1,116 orang daripada jumlah keseluruhan kakitangan JIM Johor seramai 2,858 orang.

"KDN berharap kemudahan perumahan untuk kakitangan JIM Johor dapat diwujudkan sekali gus meningkatkan kesiapsiagaan mereka untuk menjalankan tugas di samping dapat membantu mengurangkan kos sara hidup," ujarnya.

Pada Selasa, Saifuddin dilaporkan berkata peruntukan sebanyak RM19 bilion kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam Belanjawan 2024 adalah bagi memperkukuh kawalan keselamatan negara dan menjamin kebajikan kakitangan kementerian itu.

Beliau berkata, ia sesuai dengan peranan KDN yang dipertanggungjawab untuk mengurus pelbagai jabatan dan agensi bagi memastikan keterjaminan ketenteraman awam serta kawalan sempadan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!