'Harap kanak-kanak tak takut tengok saya lagi'
KOTA BHARU - Selepas lebih enam bulan kudung akibat tangan kanan terputus dalam kemalangan jalan raya April lalu, seorang pemandu bas akhirnya menerima tangan palsu daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Kelantan di sini, pada Rabu.
Mohamad Amiruddin Azhar, 27, yang berasal dari Kampung Kota, Wakaf Che Yeh itu menerima tangan yang disampaikan oleh Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar.
Mohamad Amiruddin berkata, sejak kudung, dia berasa rendah diri dan kurang keyakinan untuk berdepan orang ramai atau berkunjung ke majlis-majlis keraian.
Menurutnya, selain itu tangan palsu tersebut akan dapat membantunya untuk kembali bekerja di bahagian pentadbiran syarikat bas berkenaan.
“Saya kidal kalau menulis tetapi banyak menggunakan tangan kanan dalam kerja-kerja lain.
“Sejak kemalangan itu, kanak-kanak pun takut nak dekati saya dan lepas ini harap mereka dah tak takut lagi,” katanya ketika selepas menerima tangan palsu pada Hari Bertemu Pelanggan Peringkat Negeri Kelantan di Mydin Mall Tunjong di sini.
Mengimbau kejadian itu, kata Mohamad Amiruddin, ketika memandu bas henti-henti bersama enam penumpang dari Kota Bharu menuju Jerteh, Terengganu, kenderaan dipandunya terbabas dan merempuh belakang sebuah lori di Jalan Pintasan Kampung Seri Aman di Pasir Puteh.
Ujar anak kedua daripada tiga beradik itu, akibat kemalangan tersebut, dia dimasukkan ke wad Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini selama empat hari untuk rawatan manakala tangannya yang putus hingga ke paras lengan tidak dapat diselamatkan.
“Waktu ini saya masih bercuti sakit dan menjalani fisioterapi untuk memulihkan kecederaan yang dialami tangan ini dengan sepenuhnya.
“Selepas ini saya akan terus bekerja di syarikat yang sama tetapi mungkin akan berada di bahagian pentadbiran sahaja,” katanya.
Pemuda yang masih bujang itu turut menerima Faedah Hilang Upaya Kekal di bawah PERKESO berjumlah RM1,948.80 sebulan untuk seumur hidup.
Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan kemalangan tersebut berlaku pada jam 4.20 petang dan turut mengakibatkan dua penumpang bas mengalami kecederaan ringan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!