Jurutera conteng 'terrorist' di kedutaan Amerika Syarikat didenda
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Seorang jurutera projek yang menconteng tulisan ‘terrorist’ di tembok bangunan kedutaan Amerika Syarikat kerana tidak berpuas hati dengan konflik yang melanda Palestin, didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Rabu.
Ahmad Ridzwan Al Amin Azman Shah, 23, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret, Wong Chai Sia.
Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara sebulan, jika gagal membayar denda tersebut.
Mengikut pertuduhan, pemuda ini dituduh melakukan khianat iaitu merosakkan harta kepunyaan Kedutaan Besar Amerika Syarikat sehingga menyebabkan kerugian sebanyak RM200 iaitu menconteng tulisan ‘terrorist’ menggunakan penyembur cat warna merah.
Dia yang yang memakai baju berkolar ungu didakwa melakukan kesalahan itu di tembok luar bahagian Utara Kedutaan di Jalan Tun Razak di sini pada jam 5.30 pagi, 28 Oktober lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau dengan kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, peguam, Muhammad Rhastdan Abdul Wahab merayu agar anak guamnya dikenakan hukuman denda pada kadar rendah tanpa pemenjaraan.
Menurutnya, Ahmad Ridzwan Al Amin yang masih bujang, perlu menanggung ibunya yang juga seorang ibu tunggal bersama seorang nenek.
“Anak guam melakukan kesalahan itu kerana tidak berpuas hati dengan kejadian yang melanda Palestin.
“Dia cuma mahu menyampaikan pandangan peribadinya kepada pihak kedutaan, dan bukan mahu menyebabkan kerugian kepada mana-mana pihak,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Vivien Yeap Jie Xi memohon agar tertuduh dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!