Tiga wanita selamat, asid tertumpah di makmal sekolah

Unit Hazmat sedang membersihkan makmal yang dicemari oleh tumpahan asid dalam kejadian pagi Rabu. Gambar kanan: Tiga mangsa iaitu guru dan kakitangan sekolah dilaporkan selamat dalam kejadian tumpahan asid di sebuah sekolah di Teluk Kumbar.
Unit Hazmat sedang membersihkan makmal yang dicemari oleh tumpahan asid dalam kejadian pagi Rabu. Gambar kanan: Tiga mangsa iaitu guru dan kakitangan sekolah dilaporkan selamat dalam kejadian tumpahan asid di sebuah sekolah di Teluk Kumbar.
A
A
A

GEORGE TOWN - Tiga wanita terselamat apabila sebotol asid yang mengandungi satu liter asid Nitric tertumpah di dalam sebuah bilik makmal di sebuah sekolah di Teluk Kumbar dekat sini pada pagi Rabu.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Balik Pulau, Pegawai Bomba Kanan II, Rohaizal Abdul Aziz berkata, mangsa merupakan guru dan kakitangan sekolah berkenaan berusia antara 32 hingga 44 tahun.

Menurutnya, kesemua mangsa dibawa ke hospital untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.

"Mangsa yang terlibat telah dineutralisasikan dengan menggunakan air dan dibawa ke hospital untuk tindakan selanjutnya.

"Mereka tidak mengalami simptom yang serius namun masih dalam pemeriksaan lanjut oleh pihak hospital," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.16 pagi berhubung kejadian berkenaan.

"Apabila pasukan bomba dan penyelamat tiba di tempat kejadian, didapati berlaku tumpahan sebotol asid jenis Nitric di dalam bilik makmal sekolah dan terdapat tiga orang mangsa wanita yang telah tercemar.

"Pasukan Unit Hazmat dari BBP Bayan Baru bertindak menjalankan kerja-kerja nyah cemar (decontamination) asid tersebut menggunakan 'Soda Ash' dan 'Chemical Binder' di dalam makmal," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, operasi yang turut dibantu polis dan pasukan bomba sukarela itu ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.59 tengah hari.