Kertas siasatan ugut Fadhlina diserah kepada Jabatan Peguam Negara
IPOH - Kertas siasatan kes lelaki disyaki membuat hantaran berbaur ugutan jenayah terhadap Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, suspek berusia 28 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
"Kertas siasatan ini kita sudah hantar kertas siasatan ke pihak Jabatan Peguam Negara bagi cadangan tuduh.
"Kita juga dapat arahan lanjut untuk mendapatkan laporan forensik daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM)," katanya kepada pemberita pada Majlis Sambutan Hari Ulang Tahun 69 Komando kali ke-54 dan penutupan Kursus Asas 69 Komando siri 1/2023 di Kem Sultan Nazrin Shah, Ulu Kinta di sini pada Rabu.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Keselamatan Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Seri Hazani Ghazali dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.
Media melaporkan pemilik akaun di aplikasi X itu ditahan di Setapak, Kuala Lumpur, minggu lalu selepas menerima empat laporan polis berhubung isu tersebut.
Sementara itu, Ayob Khan turut menasihatkan pengguna agar lebih bertanggungjawab ketika membuat hantaran di akaun media sosial masing-masing.
"Mereka beranggapan bahawa tiada tindakan diambil dan polis tidak pantau. Sebenarnya mereka akan dikesan, ditangkap dan akan dituduh.
"Bertanggungjawablah dalam menggunakan media sosial. Ada perkara boleh dikongsi secara terbuka dan meluahkan perasaan, gunalah media sosial untuk kebaikan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!