Siasatan 1MDB: Roger Ng beri kerjasama baik - Ayob Khan
IPOH - Bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng Chong Hwa memberi kerjasama baik sepanjang siasatan berkaitan pemulangan aset 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, siasatan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) dan Unit Pencegahan Penggubahan Wang Haram (AMLA) Polis Diraja Malaysia.
"Siasatan ke atas Roger Ng adalah satu siasatan berterusan yang dijalankan pegawai kita di JSJK dan Unit AMLA.
"Setakat ini Roger Ng beri kerjasama baik dan kita masih mengesan aset lain yang mungkin ada di luar negara," katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis sambutan Hari Ulang Tahun 69 Komando kali ke-54 dan penutupan Kursus Asas 69 Komando siri 1/2023 di Kem Sultan Nazrin Shah, Ulu Kinta di sini pada Rabu.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Keselamatan Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Seri Hazani Ghazali dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.
Media melaporkan Roger Ng, 51, yang dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun di New York, Amerika Syarikat kerana membantu menggelapkan berbilion dollar dana 1MDB, dibawa pulang ke Malaysia oleh pasukan khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu siasatan pihak berkuasa negara ini berkaitan 1MDB.
Roger Ng telah ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFPUAA).
Roger Ng akan diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Sekuriti (SC) untuk siasatan agensi terlibat.
Mac lalu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki memaklumkan sebanyak RM28.93 bilion iaitu lebih 70 peratus aset dan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dapat dikembalikan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!