Inkues Baby Syifaa: Saksi tambahan akan dipanggil tahun depan

Yuseri (kanan) dan isteri, Anida Idrus (tengah) sedang berbincang dengan peguam, Gaithri pada prosiding inkues Baby Syifaa di Mahkamah Koroner Seremban pada Rabu.
Yuseri (kanan) dan isteri, Anida Idrus (tengah) sedang berbincang dengan peguam, Gaithri pada prosiding inkues Baby Syifaa di Mahkamah Koroner Seremban pada Rabu.
A
A
A

SEREMBAN - Mahkamah Koroner di sini pada Rabu memaklumkan peguam keluarga Baby Syifaa atau nama sebenarnya Nour Rania Asyifaa Yuseri belum mengemukakan permohonan saksi tambahan seperti mana yang dimaklumkan pada prosiding inkues 15 September lalu.

Enam saksi itu termasuk bekas Ketua Unit Siasatan Tempat Kejadian Jenayah (CSI) Makmal Forensik Bukit Aman, Amidon Anan; bekas Ketua Polis Daerah Seremban, Nanda Maarof dan pakar forensik dari Thailand, Dr Khun Ying Porntip Rojanasunan.

Peguam, Gaithri Thomas bagaimanapun menjelaskan rakan guamnya, Hafiz Norkhan yang tidak mengemukakan permohonan saksi, bukannya pihak keluarga.

Bapa Baby Syifaa, Yuseri Yusoff pula yang hadir memberi keterangan menjelaskan beliau tidak mengetahui perkara itu memandangkan Hafiz sebelum ini memaklumkan telah memfailkan permohonan tersebut.

Bagaimanapun katanya, dia, isteri dan Hafiz ada bertemu dengan seorang saksi awam pada 30 Ogos lalu yang tinggal berhampiran pusat asuhan anaknya ditemui tidak sedarkan diri dalam buaian pada 22 Februari 2022.

Hafiz Norkhan menerusi kenyataan pada 2 November lalu pula menyatakan telah menarik diri sebagai peguam yang mewakili keluarga Baby Syifaa.

Sementara itu pada prosiding yang bermula jam 10.30 pagi itu, Pegawai Pengendali Inkues, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad berkata, Amidon adalah saksi yang dipohon oleh pihak pendakwaan, namun beliau tidak dapat hadir memberi keterangan dalam masa terdekat kerana mempunyai masalah kesihatan.

"Berdasarkan perbualan di WhatsApp, Amidon memaklumkan tidak boleh berjalan jauh selepas menjalani pembedahan 'bypass' (pintasan jantung) pada 2021.

Artikel Berkaitan:

"Beliau juga dinasihatkan tidak memandu jauh dan menerima apa-apa tekanan memandangkan keadaan kesihatannya," katanya.

Tambah Azizah, seorang lagi saksi awam yang merupakan jiran berdekatan pusat asuhan di Taman Nusari Aman, Bandar Baru Sendayan iaitu lokasi Baby Syifaa ditemui meninggal dunia merupakan saksi material.

"Rakaman perbualan saksi awam ini telah dirakam dalam audio dan pengesahan daripada saksi ini sendiri diperlukan mahkamah.

"Difahamkan beliau tidak dapat hadir hari ini (Rabu) kerana telah berpindah ke Johor dan perlu menguruskan pengangkutan sebelum datang ke sini," katanya.

Terdahulu, dalam mahkamah, pihak peguam keluarga telah memainkan audio rakaman perbualan saksi awam itu bersama Yuseri dan isteri serta Hafiz selama lebih satu jam.

Koroner Datin Surita Budin kemudian memutuskan supaya prosiding inkues berkenaan bersambung pada 18 dan 23 Januari tahun depan bagi membolehkan saksi tambahan Amidon serta saksi awam itu hadir memberi keterangan di mahkamah.

Sehingga kini, seramai 25 saksi telah dipanggil memberi keterangan termasuk ibu dan bapa Baby Syifaa sepanjang prosiding inkues yang bermula pada 22 September lalu.

Media sebelum ini melaporkan, Baby Syifaa yang berusia 15 bulan ditemui tidak sedarkan diri dalam buaian di sebuah bilik di pusat asuhan di Taman Nusari Aman di Bandar Sri Sendayan pada 22 Februari 2022.

Pada 30 Mac 2022, Yuseri mendakwa anaknya dijerut dan bukan meninggal dunia disebabkan kepala terjerut pada kain buaian.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!