Industri kelapa sawit tempatan alami pertumbuhan luar biasa - TPM

Fadillah berucap pada Kongres dan Pameran Minyak Sawit Antarabangsa MPOB 2023 di Kuala Lumpur Convention Center pada Rabu. - Foto Bernama
Fadillah berucap pada Kongres dan Pameran Minyak Sawit Antarabangsa MPOB 2023 di Kuala Lumpur Convention Center pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

INDUSTRI kelapa sawit tempatan telah menyaksikan pertumbuhan dan transformasi yang luar biasa sejak beberapa dekad yang lalu, didorong oleh kemajuan teknologi dan inovasi yang dibangunkan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan pemain-pemain industri minyak sawit dalam mempromosikan amalan pengeluaran mampan dan meningkatkan hasil kelapa sawit.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, Malaysia telah mencapai kemajuan yang signifikan dalam penyelidikan biak baka dan bioteknologi, menghasilkan program siri sawit klon dan genom yang berjaya bertujuan untuk meningkatkan hasil dan mengurangkan risiko jangkitan.

Fadillah, yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, mekanisasi terutamanya telah merevolusikan tugas seperti menuai dan meningkatkan kecekapan pengurusan perladangan.

"Saya berbangga untuk mengatakan Malaysia telah melakukan pencapaian penting dengan berjaya menjujuk genom kelapa sawit yang membawa kepada penemuan penting yang meningkatkan kecekapan amalan pembiakan baka kelapa sawit.

"Kerjasama penyelidikan lain yang telah menghasilkan penemuan saintifik termasuk ciri pemakanan dalam industri makanan, farmaseutikal dan industri makanan tambahan kesihatan," katanya dalam ucaptama di Kongres dan Pameran Minyak Sawit Antarabangsa 2023 (PIPOC 2023) di sini, pada Rabu.

Sementara itu, Fadillah berkata, sejak 1980-an, Malaysia komited untuk mengguna pakai tenaga mampan, merintis pembangunan teknologi biodiesel berasaskan sawit, menyumbang kepada kemampanan alam sekitar dan kecekapan tenaga.

"Pada 2021, kerajaan dengan kerjasama MPOB, menubuhkan Konsortium Penyelidikan Mekanisasi dan Automasi Sawit, menumpukan kepada memanfaatkan teknologi mekanisasi dan automasi termaju untuk menangani kekurangan buruh dalam ladang kelapa sawit dan menggalakkan masa depan yang lebih automasi dan produktif, ” katanya.

Selain itu, untuk merangsang inovasi, kerajaan telah mengumumkan insentif cukai untuk automasi bagi menggalakkan pemain industri melabur dalam mekanisasi dan automasi.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, skim pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) melengkapkan matlamat kemampanan dan telah mendapat pengiktirafan global.

"Skim pensijilan MSPO telah diterima pakai untuk Kod Penyumberan Kemampanan Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik Tokyo 2020, (ketika itu) Jepun telah menggunakan produk-produk yang diperakui MSPO.

"Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri Jepun menerima skim pensijilan MSPO untuk tenaga boleh diperbaharui, dan Panpan Foods mempromosikan MSPO di Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022,” katanya.

Sehubungan itu, Fadillah berkata, adalah penting bagi industri kelapa sawit untuk meningkatkan produktiviti melalui teknologi inovatif sambil mengutamakan kemampanan alam sekitar, sejajar dengan rangka kerja Ekonomi Madani.

PIPOC 2023, merupakan kongres dan pameran minyak sawit terbesar di dunia dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Acara dwitahunan anjuran MPOB itu, merangkumi empat persidangan serentak dan merupakan salah satu pameran terbesar yang mempamerkan teknologi, inovasi, produk dan perkhidmatan terkini dalam industri minyak sawit.

Tema tahun ini, 'Mengemudi Ketidaktentuan, Membina Daya Tahan', amat relevan memandangkan ketidaktentuan global berterusan yang mendorong Malaysia menilai semula strategi dan pendekatannya dalam cara menguruskan negara. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!