MATTA Perak harap naik taraf LTSAS disegerakan

Usaha kerajaan negeri Perak untuk menaik taraf LTSAS disokong dan dialu-alukan oleh MATTA Perak sebagai usaha merancakkan lagi sektor industri pelancongan di negeri ini.
Usaha kerajaan negeri Perak untuk menaik taraf LTSAS disokong dan dialu-alukan oleh MATTA Perak sebagai usaha merancakkan lagi sektor industri pelancongan di negeri ini.
A
A
A

IPOH - Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Perak amat mengharapkan kerja-kerja menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS), di sini segera dimulakan bagi membantu merancakkan sektor pelancongan di negeri ini.

Pengerusi MATTA Perak, Wendy Shin berkata, lokasi LTSAS begitu strategik untuk kemasukan pelancong, usahawan, ahli perniagaan serta orang ramai ke negeri ini melihat kepada perkhidmatan disediakan syarikat penerbangan dari Singapura ke Ipoh yang sentiasa penuh.

Menurutnya, perhubungan udara sangat penting dalam mengembangkan potensi sama ada perniagaan mahupun pelancongan dan Perak memerlukan lebih banyak penerbangan masuk sebaik sahaja naik taraf lapangan terbang itu selesai.

"MATTA Perak telah menunggu lama untuk LTSAS ini dinaik taraf sejak perkara itu diumumkan pada tahun 2019 apabila kerajaan negeri menghantar kertas cadangan mengenainya kepada kerajaan persekutuan.

"Apabila Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengesahkan menerima permohonan daripada kerajaan negeri dan sedang berbincang dengan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) untuk naik taraf itu, kami tidak sabar menunggu kerja naik taraf itu bermula," katanya dalam satu kenyataan media pada Rabu.

Wendy berkata, dengan berlangsungnya Tahun Melawat Perak 2024 dan Tahun Melawat Malaysia 2026, LTSAS menjadi amat penting untuk merancakkan lagi sektor pelancongan di negeri ini.

Sehubungan itu menurutnya, pihak MATTA Perak amat menyokong dan mengalu-alukan usaha dilakukan kerajaan negeri untuk menaik taraf lapangan terbang berkenaan selain mengharapkan semua pemegang taruh bersama-sama memainkan peranan dalam memastikan Bandar raya Ipoh menjadi pintu masuk utama ke negeri ini.

Dalam pada itu, Wendy berkata, MATTA Perak juga yakin dengan naik taraf yang dilaksanakan itu akan menambahkan lagi penerbangan sama ada antarabangsa mahupun domestik ke Ipoh termasuklah dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Artikel Berkaitan:

"Kita yakin dengan naik taraf berkenaan akan memberikan keselesaan kepada penumpang terutama keperluan asas seperti balai menunggu, sistem masuk bagasi dan pelepasan imigresen.

"MATTA Perak yakin dengan sokongan semua pihak dan kelulusan daripada MAHB, industri pelancongan akan menjadi lebih cekap dan akses pasaran lebih meluas," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!