Final Piala Malaysia pada 8 Disember di Bukit Jalil

SNBJ bakal menjadi venue aksi final Piala Malaysia menemukan JDT dan TFC bulan depan. - Foto Agensi
SNBJ bakal menjadi venue aksi final Piala Malaysia menemukan JDT dan TFC bulan depan. - Foto Agensi
A
A
A

LIGA Bolasepak Malaysia (MFL) mengesahkan bahawa final Piala Malaysia 2023 antara juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Terengganu FC (TFC) bulan depan akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Kuala Lumpur.

MFL menerusi catatan di Facebooknya memaklumkan sepak mula aksi akhir antara dua gergasi bola sepak negara itu ditetapkan pada jam 9 malam, 8 Disember ini.

Bagaimanapun, MFL belum mengumumkan harga tiket bagi aksi berkenaan.

Juara edisi 2017, 2019 dan 2022, JDT yang telah mengesahkan kejuaraan Liga Super ke-10 berturut-turut, mara ke final selepas mencatatkan kemenangan agregat 12-2 ke atas Perak FC pada separuh akhir.

Terengganu yang merupakan juara edisi 2001, mengesahkan slot ke final menerusi kemenangan 4-2 secara agregat ke atas Kuala Lumpur (KL) City FC.

Kualiti rumput baharu di SNBJ menerima kritikan pada Pestabola Merdeka bulan lepas, yang merupakan kejohanan pertama diadakan di lokasi berkenaan selepas ditutup sejak Mac bagi menaik taraf padang menggunakan rumput baru jenis Zeon Zoysia.

Dalam catatan sama, MFL mengumumkan tarikh dan venue bagi perlawanan akhir MFL Challenge Cup antara PDRM FC dan Kuching City FC.

Skuad Sang Saka Biru akan menjadi tuan rumah final pertama pada 29 November di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), manakala Kuching City menjadi hos final kedua pada jam 3 Disember di Stadium Negeri, dengan kedua-dua aksi akan bermula pada jam 8.15 malam. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!