Kertas Putih Dasar Gaji Progresif dibentang 30 November ini

Kertas Putih Cadangan Dasar Gaji Progresif akan dibentangkan di Parlimen pada 30 November ini. - Gambar hiasan
Kertas Putih Cadangan Dasar Gaji Progresif akan dibentangkan di Parlimen pada 30 November ini. - Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Kertas Putih Cadangan Dasar Gaji Progresif akan dibentangkan di Parlimen pada 30 November bagi menerangkan secara lebih terperinci berkaitan dengan ciri-ciri asas dan mekanisme pelaksanaannya.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, peruntukan pelaksanaan rintis gaji progresif untuk pekerja dan syarikat swasta awalnya telah dimasukkan di dalam Belanjawan 2024 di bawah Kementerian Ekonomi.

"Ini kali pertama kerajaan akan campur tangan secara terus untuk meningkatkan gaji sektor swasta," katanya menerusi aplikasi X pada Rabu.

Ujar beliau, untuk mengekalkan momentum tumpuan kerajaan kepada persoalan gaji rakyat, projek rintis pelaksanaan gaji progresif akan dilaksanakan pada 2024 bagi menilai keberkesanan dan ketersediaan dasar tersebut.

"Keputusan yang dibuat ialah pelaksanaannya perlu melibatkan kesemua pihak dan digerakkan sebagai langkah bersama satu negara," katanya.

Dasar gaji progresif dibuat bagi membantu negara mencapai sasaran bahagian pampasan pekerja sebanyak 45 peratus dari keluaran dalam negara kasar (KDNK) dalam tempoh 10 tahun.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!