Pekerja kilang rugi RM25,000 jadi mangsa tawaran motosikal lelong
PEKAN - Seorang lelaki mendakwa mengalami kerugian RM25,000 selepas menjadi mangsa penipuan tawaran jual beli motosikal lelong dalam talian.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintenden Mohd Zaidi Mat Zin berkata, mangsa berusia dalam lingkungan awal 50-an itu berminat untuk membeli sebuah motosikal jenis LC135 yang dijual pada harga serendah RM1,500.
Menurutnya, motosikal itu diiklankan dalam sebuah akaun Tiktok yang dilayarinya Sabtu minggu lalu.
"Mangsa yang bekerja sebagai pekerja kilang telah berurusan dengan penjual (suspek) melalui aplikasi Whatsapp bagi urusan pembelian.
"Mangsa berminat untuk membeli motosikal itu dan bersetuju dengan harga yang ditawarkan sebelum diminta membuat bayaran," katanya.
Mohd Zaidi berkata, dalam urusan itu, mangsa telah diperdayakan sehingga memaksanya membuat enam transaksi bayaran melalui pindahan wang dengan jumlah keseluruhan RM25,000.
"Mangsa menyedari ditipu apabila suspek meminta bayaran tambahan RM15,000 sebelum motosikal diserahkan.
"Mangsa tidak meneruskan bayaran sebaliknya tampil membuat laporan polis," katanya.
Justeru, Mohd Zaidi menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan iklan jualan murah dalam.mana-mana aplikasi dalam talian.
"Sebaiknya buat semakan nombor telefon dan akaun bank yang digunakan melalui aplikasi Check Scammers CCID bagi mengelak menjadi mangsa penipuan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!