'Hadiah Deepavali paling bermakna'

Sivanesan (tengah) bersama-sama bekas pekerja Ladang Kamiri, Sungai Siput selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Surat Tawaran Pemberimilikan Tanah Kerajaan di RPT Wilayah Batu 1 Mukim Sungai Siput di Dewan Serbaguna Pengarah Tanah dan Galian Negeri Perak pada Rabu. (Gambar kecil: MUNUSAMY dan KRISHNAN)
Sivanesan (tengah) bersama-sama bekas pekerja Ladang Kamiri, Sungai Siput selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Surat Tawaran Pemberimilikan Tanah Kerajaan di RPT Wilayah Batu 1 Mukim Sungai Siput di Dewan Serbaguna Pengarah Tanah dan Galian Negeri Perak pada Rabu. (Gambar kecil: MUNUSAMY dan KRISHNAN)
A
A
A

IPOH - Setelah lebih 20 tahun berjuang, akhirnya seramai 34 orang bekas pekerja ladang menerima tanah lot rumah sendiri di Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) Wilayah Batu 1 Mukim Sungai Siput, Sungai Siput pada Rabu.

Seorang penerima, C Munusamy, 73, tahun berkata, perjuangan sejak tahun 2000 itu amat dinanti-nantikan penduduk yang kebanyakannya bekerja di Ladang Kamiri, Sungai Siput setelah pelbagai usaha dibuat untuk mendapatkan lot tanah kediaman tersebut.

Menurutnya, pekerja tidak putus asa walaupun isu tersebut berulang kali dibangkitkan malah pernah dibawa ke mahkamah untuk mencari penyelesaian.

"Kami rasa amat bersyukur kerana akhirnya kesemua bekas pekerja ini punyai tanah sendiri untuk buat rumah. Lebih manis lagi kita dapat berita gembira ini lagi seminggu sebelum Deepavali. Ini hadiah paling bermakna buat kami.

"Terima kasih tidak terhingga kepada Pengarah Tanah dan Galian Perak yang menunaikan janji untuk menyelesaikan isu ini sebelum Deepavali dan hari ini kita dah terima surat tawaran," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Surat Tawaran Pemberimilikan Tanah Kerajaan di Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) Wilayah Batu 1 Mukim Sungai Siput di Dewan Serbaguna Pengarah Tanah dan Galian Negeri Perak pada Rabu.

Majlis tersebut disempurnakan Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional, A Sivanesan.

Turut hadir, Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Jalong, Loh Sze Yee dan Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Sandrea Ng Shy Ching.

Seorang lagi penerima, K Krishnan, 66, berkata, pemberian surat tawaran tersebut memang dinanti-nantikan oleh bekas pekerja berkenaan kerana isu berkenaan begitu lama untuk diselesaikan.

Artikel Berkaitan:

"Saya gembira tetapi dalam masa sama sedih sebab ini merupakan perjuangan ibu bapa saya namun mereka tak sempat nak rasa sebab meninggal pada tahun 2011 dan 2013. Jika mereka ada pasti lagi gembira.

"Bukan sahaja ibu bapa saya tetapi ada tujuh bekas pekerja yang telah meninggal dunia tanpa sempat merasai kejayaan ini," katanya.

Sementara itu, Sivanesan ketika ditemui dalam sidang akhbar berasingan berkata, kerajaan amat komited dalam menyelesai itu penduduk setinggan di negeri ini.

Beliau menjelaskan, pada tahun ini sahaja, sebanyak 219 lot tanah RPT telah diberikan kepada penduduk setinggan melibatkan masyarakat India dan Cina di negeri ini.

Katanya, kerajaan negeri akan terus berusaha menyelesaikan isu penduduk setinggan di negeri ini dengan memberikan mereka lot tanah untuk dijadikan penempatan sah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!