Ahli Parlimen pembangkang sokong Anwar tanpa paksaan - DAP

V Sivakumar - Foto Bernama.
V Sivakumar - Foto Bernama.
A
A
A

KOTA BHARU - DAP menganggap tindakan beberapa ahli Parlimen parti pembangkang yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak melibatkan unsur paksaan.

Timbalan Setiausaha Agung DAP, V Sivakumar berkata, sesiapapun berhak menyatakan sokongan kepada Anwar dan Kerajaan Perpaduan bahkan secara rela hati.

“Mungkin ada pihak yang mengatakan ada unsur paksaan dan sebagainya tetapi yang saya tahu dan baca daripada media tidak ada apa-apa paksaan.

“Kalau tidak ada apa-apa paksaan maka saya rasa sokongan dibuat dengan rela hati sebab mereka berasakan kerajaan pusat itu baik,” katanya pada sidang akhbar pada program Hari Bertemu Pelanggan Peringkat Negeri Kelantan di Mydin Mall Tunjong di sini pada Rabu.

Sivakumar (tengah) bergambar dengan para peserta Hari Bertemu Pelanggan Peringkat Negeri Kelantan.
Sivakumar (tengah) bergambar dengan para peserta Hari Bertemu Pelanggan Peringkat Negeri Kelantan.

Beliau yang juga Menteri Sumber Manusia dan Ahli Parlimen Batu Gajah itu mengulas, tidak ada masalah untuk menyatakan sokongan dan Ahli Parlimen yang terlibat bukan melompat parti.

“Kalau dia lompat, itu cerita lain tetapi ini mereka beri sokongan kepada kerajaan sahaja,” ujar beliau.

Akhbar sebelum ini melaporkan, pada 12 Oktober lalu, Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid dari Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memutuskan untuk menyatakan sokongan kepada Anwar setelah meneliti rintihan berterusan pengundi dan menitikberatkan keperluan mendesak.

Artikel Berkaitan:

Tindakan itu disusuli oleh Ahli Parlimen Labuan, Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman juga Bersatu yang menyatakan sokongan kepada Anwar seterusnya Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Mohd Noor pada 31 Oktober lalu.

Terbaharu, Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Aziz Abu Naim secara rasmi menyatakan sokongan kepada Anwar berkuat kuasa pada Selasa bagi memastikan kebajikan penduduk di Parlimen berkenaan terbela dan terus mendapat manfaat termasuk peningkatan kemudahan infrastruktur.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!