Polis siasat dakwaan kes tipu pelaburan dilindungi 'Tan Sri'

Razarudin. Gambar kecil: Laporan Sinar Harian pada Selasa
Razarudin. Gambar kecil: Laporan Sinar Harian pada Selasa
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis membuka kertas siasatan berhubung dakwaan kes penipuan yang menyebabkan kerugian ratusan pelabur bernilai RM1 bilion yang didalangi lelaki bergelar 'Datuk' kononnya dilindungi individu kenamaan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kertas siasatan telah dibuka dan disiasat oleh Unit Pencegahan Penggubahan Wang Haram (AMLA) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman.

"Kita kena siasat dulu dakwaan yang menyatakan 'Datuk' itu dilindungi oleh 'Tan Sri'. Bila maklumat yang bukan kita keluarkan, kita kena siasat, kita nak sahkan berita dan maklumat itu benar.

"Kalau dia kata cakap dilindungi oleh 'Tan Sri', kita kena siasat kerana polis tidak boleh terus buat kesimpulan sebab maklumat itu bukan datang dari saya atau JSJK sendiri," katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman pada Rabu.

Sinar Harian pada Selasa melaporkan seorang lelaki bergelar ‘Datuk’ didakwa menipu ratusan pelabur dengan janji manis dan tawaran komisen tinggi apabila menjual nama rakan kongsinya yang bergelar ‘Tan Sri’ melalui 18 syarikat pelaburan.

Dalam satu sidang akhbar, ahli perniagaan dikenali Lee Roger Meiklejohn, 50, mendakwa dirinya mengalami kerugian kira-kira RM60 juta gara-gara menyertai pelaburan yang ditawarkan individu terbabit.

Seorang lagi mangsa yang juga usahawan kosmetik, Shah Abdul Malek, 51, memberitahu dirinya turut terperangkap dengan penipuan individu berkenaan dan mengalami kerugian lebih RM7 juta.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!