864kg produk sejuk beku bercampur produk tidak halal dirampas
SANDAKAN - Sebanyak 864 kilogram (kg) produk sejuk beku dianggarkan bernilai RM17,302 telah disita kerana dipercayai disimpan bercampur dengan produk tidak halal dalam satu serbuan terhadap sebuah premis di sini pada Rabu.
Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sandakan, Azdy Zukkry John berkata, produk dipercayai daging ayam, itik dan babi berkenaan ditemukan disimpan dalam sebuah kontena sejuk beku di sebuah premis pengimport dan pemborong produk sejuk beku ketika serbuan pada jam 11 pagi Rabu.
"Kami akan menghantar sampel ke Jabatan Kimia untuk menentukan sama ada produk tersebut adalah babi sebelum tindakan selanjutnya.
"Kami mendapat maklumat memang produk ini dijual kepada restoran. Jadi, kami akan jalankan siasatan," katanya kepada pemberita selepas operasi berkenaan.
Menurut Azdy Zukkry, operasi bersepadu itu disertai 11 pegawai dari KPDN Sandakan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah dan Pejabat Kesihatan Kawasan Sandakan, Sabah.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Perintah 3, Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011.
"Jika sabit kesalahan suatu pertubuhan perbadanan (syarikat) boleh didenda tidak melebihi RM5 juta dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya boleh didenda tidak melebihi RM10 juta.
"Bagi individu pula boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1 juta atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya,” katanya.
Azdy Zukkry berkata, pihaknya akan terus menjalankan pemeriksaan dan pemantauan secara bersepadu terhadap premis pengimport dan pemborong produk sejuk beku di Sandakan bagi memastikan pematuhan oleh peniaga di bawah Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!