Tia Jinbara meninggal dunia
PENYANYI yang juga bekas vokalis kumpulan Jinbara, Tia atau nama sebenarnya Shamsul Bakhtiar Zakaria, 53, telah meninggal dunia di Hospital Shah Alam pada Rabu.
Berita duka itu disahkan kakaknya, Azmah Zakaria.
“Benar, ALLAH telah jemput dia pulang pada jam 9.17 malam.
"Saya masih menanti maklumat lanjut daripada isterinya,” ujarnya kepada Sinar Harian.
Terdahulu, Tia disahkan menghidap kanser hati dan menerima rawatan di Hospital Shah Alam sejak Rabu minggu lalu.
Tia dimasukkan ke hospital selepas mengadu sakit perut dan setelah pelbagai pemeriksaan dijalankan termasuk ujian imbasan sinar-X, kolonoskopi dan terakhir, CT Scan, barulah doktor mengesahkan ada ketumbuhan pada hatinya.
Semasa hayatnya, Tia bersama kumpulan Jinbara cukup terkenal menerusi lagu Farhana (Puteri Bumi Kenyalang) dan pernah menyertai Gegar Vaganza musim keempat.
Tia berkahwin dengan Suzan Ahmad, yang juga ibu tunggal tiga cahaya mata pada Mei 2009. Bagaimanapun perkahwinannya bersama Suzan tidak dikurniakan cahaya mata.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!