'Rasa macam kuda lari atas rumah' - Mangsa ribut
IPOH - "Saya laung azan tiga kali, rasa macam kuda lari atas rumah,” kata Ismail Daud, 65, menceritakan kejadian ribut yang menerbangkan sebahagian bumbung rumahnya dalam kejadian di Klebang Jaya, di sini petang tadi.
Menurut pesara tentera itu, ketika kejadian kira-kira jam 4.15 petang, dia sedang tidur di ruang tamu rumah manakala isteri dan dua anaknya sedang berehat.
"Saya tersedar apabila siling rumah tiba-tiba jatuh dan air hujan masuk rumah, serentak itu bumbung rumah dari dapur dan bilik sehingga ruang tamu diterbangkan angin ribut satu persatu,” katanya ketika ditemui di rumahnya malam ini.
Katanya, ribut dan angin kuat yang berlangsung kira-kira 20 minit itu turut menerbangkan bumbung rumah jiran dan menarik tiang serta wayar elektrik di kawasan tersebut.
Ia membuatkan dia gerun dan melaungkan azan tiga kali.
"Sebaik azan yang ketiga ribut mula berhenti, saya bersyukur kerana tiada ahli keluarga atau sesiapa yang cedera,” katanya.
Ismail yang telah menetap 22 tahun di Taman Klebang Jaya berkata, sebelum ini ribut pernah berlaku sebanyak dua kali, namun kejadian hari ini adalah yang terburuk.
Seorang lagi mangsa, D Thanivel, 66, berkata, ketika kejadian dia dan keluarga tiada di rumah kerana melawat ahli keluarga yang sakit di sebuah hospital di Ipoh.
"Ada jiran memberitahu saya bumbung rumah saya diterbangkan ribut, air masuk ke rumah menyebabkan saya bergegas pulang.
"Bila sampai saya lihat bumbung ruang tamu dan dua daripada tiga bilik telah terbang dan siling rumah juga runtuh," katanya yang tinggal di rumah tersebut bersama isteri dan seorang anaknya.
Sementara itu, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Negeri Perak dalam kenyataan memaklumkan 47 rumah di Taman Klebang Jaya terjejas akibat kejadian ribut berkenaan susulan hujan lebat selama lebih dua jam.
Kenyataan itu berkata, anggota dan ambulans telah dikerahkan ke tempat kejadian untuk membuat penilaian risiko.
"Setakat ini tiada kecederaan dilaporkan,” menurut kenyataan itu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!