Cabaran skuad hoki buru tiket Olimpik Paris 2024
SKUAD hoki lelaki negara, The Speedy Tigers optimis mampu untuk meraih tiket ke Paris menjelang pusingan Kelayakan Sukan Olimpik 2024 di Muscat, Oman pada Januari tahun depan.
Meskipun sedar bakal berdepan laluan sukar apabila diundi dalam Kumpulan A bersama Great Britain, Pakistan dan China, skuad Speedy Tigers tetap bertekad menyambar slot Sukan Olimpik Paris 2024.
Pengurusnya, Datuk Mirnawan Nawawi percaya cabaran tersebut mampu ditempuh berdasarkan pengalaman para pemain beraksi di pentas antarabangsa termasuk Sukan Asia Hangzhou 2022 bulan lalu.
Malah, beliau berkata, anak-anak buahnya sudah melupakan peristiwa di Hangzhou dan mahu menjadikan saingan Kelayakan Olimpik itu sebagai pentas kebangkitan untuk menuju ke Paris tahun depan.
“Menyentuh mengenai Kelayakan Olimpik ia adalah satu lagi kejohanan yang sukar. Berada dalam mana-mana kumpulan memang mencabar buat semua pasukan.
“Cuma advantage kepada pasukan kebangsaan adalah lawan kita nanti Pakistan dan China. Ini kerana kita sudah tahu kelemahan dan kekuatan mereka.
“Tewas kepada Pakistan dan seri dengan China pada Sukan Asia bulan lalu sudah cukup buat pasukan kebangsaan supaya tidak mengulangi kesilapan sama.
“Kita akan hadapi satu perlawanan demi satu perlawanan dan letak sasaran untuk berada di tempat kedua dalam kumpulan,” katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.
Pada masa sama, Mirnawan mengingatkan setiap pemain untuk tidak memandang mudah keupayaan pasukan lawan dan sentiasa fokus dalam setiap perlawanan.
“Ketika bergelar pemain, saya pernah ke pusingan (kelayakan) sebanyak enam kali. Tiga kali untuk Olimpik dan tiga Piala Dunia. Lima (aksi kelayakan) berjaya layak dan hanya sekali gagal untuk layak ke Piala Dunia 1994 di Sydney.
“Memang tough cabaran pasukan kebangsaan di Muscat nanti, tetapi kita akan melihat dengan teliti kekuatan dan kelemahan mereka (pasukan lawan),” jelas bekas kapten skuad kebangsaan itu," katanya.
Sebagai rekod, hanya tiga pasukan terbaik pada pusingan Kelayakan Olimpik itu termasuk wakil dalam Kumpulan B - Jerman, New Zealand, Kanada dan Chile akan memperoleh tiket ke Paris.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!