Bukankah mudah guna pembayaran tanpa tunai
PERKHIDMATAN menerusi kaunter sama ada bank, pejabat kerajaan mahupun entiti perniagaan menjadi satu-satunya pilihan yang ada pada kita kira-kira 20 tahun lalu.
Selari dengan peredaran zaman, kini semua itu sudah berubah, daripada kita membayar bil utiliti di pejabat pos - era mengeluarkan duit menerusi mesin pengeluaran wang automatik (ATM) - pemindahan kepada akaun ketiga di ATM - dan akhirnya kini semua urusan berkenaan dilakukan hanya di hujung jari.
Tanpa perlu beratur panjang atau perlu berurusan pada waktu operasi dan hari tertentu, kini semuanya memerlukan aplikasi dalam telefon bimbit.
Pengalaman beratur di bank, mengambil nombor giliran serta mengeluarkan wang kecil dari saku untuk pembayaran di kaunter akan hanya tinggal kenangan di sebalik kehadiran kaedah yang lebih mudah dan menjimatkan masa, di mana saja.
Pelbagai aplikasi yang menyediakan kaedah pembayaran online kini menjadi keperluan kepada hampir setiap individu dewasa di negara ini. Yang penting, ada duit dalam akaun.
Oleh demikian, keputusan kerajaan untuk beralih kepada sistem tanpa tunai ini harus disambut baik semua pihak dalam usaha untuk menyediakan negara kita ke arah sistem digital sepenuhnya.
Dalam kehidupan yang serba moden ini, pastinya kita juga inginkan transaksi selamat berbanding pembayaran tunai kerana seperti yang kita pernah alami sebelum ini, membawa wang tunai dalam jumlah yang banyak berisiko untuk menjadi mangsa kegiatan jenayah.
Tambahan pula transaksi digital menawarkan pelbagai lapisan keselamatan, pengesahan biometrik dan sistem pengesanan penipuan, termasuk pengesanan dua langkah yang berkesan melindungi data kewangan.
Seperti dilaporkan media sebelum ini, kajian juga menunjukkan bahawa pembayaran tanpa sentuh adalah kaedah pembayaran yang paling digemari oleh rakyat Malaysia untuk kategori seperti pasar raya dan pembelian runcit.
Justeru, langkah beberapa kerajaan negeri untuk menggesa peniaga kecil berniaga secara tanpa tunai bagi mengelak menjadi mangsa khususnya penggunaan wang tunai palsu oleh pihak tidak bertanggungjawab, perlu disokong.
Banyak faedahnya jika kita mempraktikkan sistem tanpa tunai dan pembayaran secara kod QR, antaranya peniaga dapat kurangkan risiko terdedah dengan wang palsu.
Sinar Harian pada Ahad mendedahkan tinjauan yang dibuat dalam kalangan peniaga kecil mengakui pernah menerima wang kertas palsu daripada pelanggan dan didakwa semakin berleluasa selepas pandemik Covid-19.
Kegiatan individu tertentu menggunakan wang palsu ketika membuat pembayaran memang sukar untuk dikesan bukan sahaja dalam kalangan peniaga kecil, malah orang ramai itu sendiri.
Jadi bagi mengurangkan risiko berkenaan, transaksi tanpa tunai haruslah jadi pilihan kepada usahawan kita.
Kita kena praktikkan penggunaan teknologi yang ada sekarang ini dan perbanyakkan lagi promosi go cashless. Mudahkan urusan jual beli dan paling penting duit selamat.
Cuma, isu keselamatan siber dan digital ini perlu menjadi agenda utama kerajaan bagi memastikan sistem sedia ada bebas daripada sebarang aktiviti penggodaman serta penipuan.
Perlu dipastikan tiada pihak ketiga yang berpeluang untuk mengendalikan akaun atau menerima nombor Kod Pengesahan Transaksi (TAC) atau apa saja maklumat peribadi lain yang boleh menyebabkan akaun bank tinggal kosong!
Jadi, sama ada kita menggunakan aplikasi atau pembayaran menggunakan kad, pemilik akaun sendiri yang bertanggungjawab tanpa perlu bimbang dengan kemungkinan menjadi mangsa teknologi maya yang sepatutnya memudahkan kehidupan.
Seperkara lagi, biarlah semua pihak menyediakan kemudahan tanpa tunai di seluruh negara tanpa pengecualian kerana masih ada segelintir peniaga yang lebih seronok memegang wang kertas dan memulangkan syiling berbanding berubah memilih imbas kod QR atau sentuh kad debit.
Di saat seronok memilih barangan, sampai di kaunter pembayaran, peniaga meletakkan tanda ‘tunai saja’. Memang bikin panas hati!
Ayuh semua, kita jayakan kaedah pembayaran tanpa tunai demi kemudahan bersama!
*Nurhafiza Hasan ialah Penyunting Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!