Rumah dibom, 12 hari terputus hubungan dengan ibu di Palestin

Abdallah menunjukkan keadaan rumah ibunya di Gaza, Palestin yang telah dibom.
Abdallah menunjukkan keadaan rumah ibunya di Gaza, Palestin yang telah dibom.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang penduduk Gaza, Palestin yang lebih sedekad menetap di negeri ini gundah-gulana memikirkan nasib ibunya berusia 76 tahun selepas mereka terputus hubungan sejak 12 hari lalu.

Abdallah Ismail, 38, berkata, lebih membimbangkan lagi apabila rumah milik ibu di Bandar Gaza turut musnah dibom pada hari ke 15 serangan Zionis yang bermula pada 7 Oktober lalu.

Menurutnya, kebiasaan dia akan berhubung dengan ibunya menerusi aplikasi WhatsApp untuk mendapatkan maklumat situasi dan keadaan terkini di Gaza.

"Kali terakhir berhubung, ibu berada dalam keadaan sihat walaupun tanpa bekalan makanan serta air.

"Di sana, kalau dapat tisu basah pun mereka sudah gembira, dapat membersihkan badan.

"Selain ibu, saya turut bimbangkan abang kelima dari sembilan beradik yang sudah lebih 20 hari hilang tanpa berita," katanya.

Keadaan di Palestin yang dikongsi kepada Abdallah oleh rakan-rakannya di sana.
Keadaan di Palestin yang dikongsi kepada Abdallah oleh rakan-rakannya di sana.

Ujar Abdallah, setiap hari dia mengikuti perkembangan terkini di Palestin melalui rakan-rakan yang boleh dihubungi.

Artikel Berkaitan:

Dia mungkin tidak boleh memikul senjata untuk berjuang tetapi masih mempunyai media sosial untuk memberi kesedaran, info terkini apa yang berlaku di sana supaya rakyat Malaysia mendapat berita yang sahih.

Menurut bapa kepada dua anak itu, kini hanya doa yang mampu dititipkan supaya ibu, serta ahli keluarga yang lain berada dalam keadaan selamat.

"Saya berharap rakyat Malaysia terus berdoa untuk kesejahteraan Palestin dan pada masa yang sama jika mempunyai rezeki yang lebih bantulah mereka di sana.

"Doa adalah senjata utama kami di sana. Jadi berdoalah sebanyak mungkin untuk kesejahteraan dan kemenangan umat Islam di bumi Palestin," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!