Penyudah SMK Dato' Harun belum cukup tajam

SMK Dato' Harun selepas perlawanan Piala Sumbangsih Kejuaraan Piala Datuk Mokhtar Dahari B-15 2023 di padang sintetik MBSA Seksyen 19 Shah Alam pada Rabu.- Foto Sinar Harian MOHD RAFIQ REDZUAN
SMK Dato' Harun selepas perlawanan Piala Sumbangsih Kejuaraan Piala Datuk Mokhtar Dahari B-15 2023 di padang sintetik MBSA Seksyen 19 Shah Alam pada Rabu.- Foto Sinar Harian MOHD RAFIQ REDZUAN
A
A
A

KETUMPULAN penyudah menyaksikan skuad Bawah 15 tahun (B-15) SMK Dato' Harun terpaksa akur tewas 0-1 kepada SMK Shah Alam pada saingan Piala Sumbangsih Kejohanan Piala Datuk Mokhtar Dahari B-15 di padang sintetik Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Seksyen 19 Shah Alam pada Rabu.

Itu rumusan pengendali skuad B-15 SMK Dato' Harun, Mohd Afindi Suaid yang menyifatkan pasukan dari Tanjung Karang itu sudah melakukan yang terbaik pada aksi terbabit apabila akhirnya berputih mata hasil jaringan Hazif Hakim Noorfaezal pada masa kecederaan separuh masa kedua untuk trofi pertama lawan dari Shah Alam berkenaan.

"Secara keseluruhannya saya amat berpuashati dengan persembahan pemain-pemain yang menampilkan permainan positif.

"Malah kami menguasai permainan cuma jentera penyudah gagal menyempurnakan beberapa peluang dalam bentuk jaringan, itu sahaja.

"Insya-ALLAH, kelemahan ini kami akan perbaiki segera agar bahagian penyudah lebih konsisten menjelmakan gol bagi membolehkan pasukan kembali bangkit mencabar kejuaraan tahun ini," katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.

No Image Caption

Pada masa sama Mohd Afindi juga gembira gandingan pemain baharu dan lama pasukan mula menjelmakan keserasian.

"Alhamdulillah, gandingan pemain baharu dan lama sudah mula menunjukkan keserasian yang baik dalam perlawanan kompetitif sebegini.

Artikel Berkaitan:

"Sejujurnya inilah yang amat saya harapkan selepas pasukan kehilangan beberapa tonggak utama sebelum ini.

"Saya amat gembira dengan perkembangan positif ini yang penting sebelum pasukan memulakan perlawanan pertama peringkat kumpulan minggu depan," katanya.

Saingan peringkat kumpulan Piala Datuk Mokhtar Dahari B-15 bermula pada Rabu hingga 4 Disember.

Kesemua pasukan terbabit dibahagikan kepada lapan kumpulan yang menyaksikan setiap mengandungi empat pasukan.

Juara dan naib juara kumpulan layak ke pusingan kedua yang akan berlangsung pada 27 November.

Kemudian diikuti dengan perlawanan suku akhir pada 29 November, separuh akhir 1 Disember dan perlawanan akhir 4 Disember.

Sebagai rekod, kejuaraan Piala Datuk Mokhtar Dahari B-15 mendapat tajaan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) dengan Sinar Harian merupakan media rasmi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!