Pendakwaan mohon Syed Saddiq disebat minimum enam kali
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Pihak pendakwaan memohon Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dihukum penjara minimum enam tahun, denda tidak kurang RM7 juta dan sebatan antara enam hingga 10 kali.
Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata demikian ketika sesi pemberatan di hadapan Hakim, Datuk Azhar Abdul Hamid, yang memutuskan Syed Saddiq, 31, bersalah atas empat pertuduhan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram (AMLA).
Bagi kesalahan bersubahat pecah Amanah, Wan Shaharuddin memohon agar bekas Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu ini dipenjara dalam lingkungan dua hingga empat tahun, sebatan maksimum lima kali dan denda sehingga RM3 juta (gagal bayar dua tahun penjara).
Sementara kes salah guna harta, beliau mencadangkan tertuduh dihukum penjara antara dua hingga tiga tahun, denda dalam lingkungan RM200,000 hingga RM500,000 (gagal bayar setahun penjara) dan sebatan tiga ke lima kali.
Dua pertuduhan kes AMLA pula, pendakwaan berharap mahkamah menjatuhi hukuman penjara antara satu hingga dua tahun dan denda RM5 juta bagi setiap pertuduhan.
“Kami menghujahkan, wajib dikenakan sebatan kerana berdasarkan tertuduh dalam kes lain, mahkamah mengenakan hukuman berkenaan bagi pertuduhan yang sama.
“Selain itu, kami mohon hukuman penjara bagi keempat-empat pertuduhan ini, berjalan secara berasingan,” katanya.
Wan Shaharuddin turut menyatakan harapan, agar ahli politik lain berfikir sedalam-dalamnya sebelum menanam hasrat untuk melakukan kesalahan sama.
Beliau turut mendoakan, anak kelahiran Johor Bahru ini berubah menjadi anak dan ahli politik yang lebih baik.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!