Kerani bank kerugian lebih RM500,000 ditipu skim pelaburan tidak wujud

Seorang kerani wanita di sebuah bank kerugian RM585,700 setelah terpedaya dengan skim pelaburan MIDA yang tidak wujud, pada bulan lalu. - Gambar hiasan
Seorang kerani wanita di sebuah bank kerugian RM585,700 setelah terpedaya dengan skim pelaburan MIDA yang tidak wujud, pada bulan lalu. - Gambar hiasan
A
A
A

JASIN - Seorang kerani wanita di sebuah bank kerugian RM585,700 setelah terpedaya dengan skim pelaburan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) yang tidak wujud, pada bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Jasin, Superintenden Ahmad Jamil Radzi berkata, mangsa berusia 52 tahun itu telah dihubungi seorang wanita yang mendakwa sebagai pegawai perunding bagi pelaburan MIDA menerusi aplikasi WhatsApp, 5 Oktober lalu.

Menurutnya, mangsa tertarik apabila dijanjikan akan mendapat keuntungan berganda dalam tempoh tiga hingga enam jam sebanyak RM15,467 sekiranya membuat pelaburan serendah RM300.

Katanya, individu itu turut memberitahu mangsa pelaburan berkenaan tidak mengenakan bayaran broker dan tiada caj tersembunyi selain pemindahan pulangan wang dengan segera serta keuntungan besar.

"Mangsa telah bersetuju memulakan pelaburan itu dan membuat satu transaksi berjumlah RM300 ke sebuah akaun Maybank atas nama Abang Rahmani Abang Mohidin sebagai permulaan pelaburan.

"Dalam tempoh itu, mangsa telah membuat sebanyak 64 transaksi ke dalam 31 pemilik akaun berjumlah RM585,400 bagi tujuan pelaburan tersebut," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Khamis.

Ujar beliau, mangsa hanya menyedari ditipu apabila diberitahu individu terbabit bahawa pihak telco meminta bayaran tambahan bil telefon sebanyak RM10,000 bagi pelaburan itu pada 27 Oktober

Katanya, mangsa tampil membuat laporan pada Selasa untuk siasatan dan tindakan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, sumber kewangan mangsa dipercayai daripada wang simpanan Tabung Haji, wang simpanan fit deposit bank dan wang simpanan Amanah Saham Bumiputera (ASB).

"Mangsa turut mengakui menjual dan menggadaikan beberapa barang kemas untuk pelaburan tersebut.

"Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dengan mana-mana iklan pelaburan yang tidak sah," katanya.