Kapal kargo Thailand ditahan bersauh tanpa kebenaran
GEORGETOWN - Sebuah kapal kargo dari Thailand ditahan kerana disyaki bersauh tanpa kebenaran di kedudukan 4.4 batu nautika utara Teluk Bahang, di sini malam semalam.
Kapal itu ditahan sepasukan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang selepas menerima maklumat daripada orang awam.
Pengarahnya, Kepten Maritim Hamizan Harun berkata, pemeriksaan pada jam 10.15 malam mendapati
kapal sepanjang 100 meter itu didaftarkan di atas nama 'Bangsakao' di Thailand.
"Kapal itu dikendalikan 20 kru warga Thailand dan seorang warga Myanmar.
"Kesemua mereka yang berusia dalam lingkungan 25 hingga 67 tahun dan kini ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 491B(1)(I) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 iaitu bersauh tanpa kebenaran dan gagal memaklumkan ketibaan kepada Jabatan Laut Malaysia,” katanya melalui kenyataan media hari ini.
Hamizan berkata, jika didapati bersalah, kru kapal tersebut boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
Orang awam juga melaporkan sebarang perkara menyalahi undang-undang, kecemasan atau kemalangan di laut di talian kecemasan 24 jam iaitu MERS 999 atau Pusat Operasi APMM Pulau Pinang iaitu 04-2626146 / 04-2643650.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!