KUD@Putrajaya 2023 dijangka gamit 1 juta pengunjung

Rubiah (tengah) diiringi Ramlan (dua dari kiri) melawat reruai pada Majlis Prapelancaran KUD2023@Putrajaya di Sri Pentas Bandar Utama, Petaling Jaya pada Khamis. Foto Sinar Harian/Asril Aswandi Shukor.
Rubiah (tengah) diiringi Ramlan (dua dari kiri) melawat reruai pada Majlis Prapelancaran KUD2023@Putrajaya di Sri Pentas Bandar Utama, Petaling Jaya pada Khamis. Foto Sinar Harian/Asril Aswandi Shukor.
A
A
A

PETALING JAYA - [DIKEMAS KINI] Karnival Usahawan Desa (KUD) @Putrajaya 2023 yang akan berlangsung pada 22 hingga 26 November depan dijangka akan menarik kira-kira satu juta pengunjung.

Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Seri Ramlan Harun berkata, program yang akan berlangsung di Anjung Floria, Putrajaya itu juga akan menghimpunkan lebih 1,000 usahawan.

Menurutnya, majoriti usahawan luar bandar yang terlibat terdiri daripada kategori makanan dan minuman, fesyen, kecantikan, kesihatan, kraftangan serta produk pertanian.

"Dalam KUD@Putrajaya 2023 kali ini, KKDW telah mengambil inisiatif untuk memperkenalkan produk pelancongan luar bandar yang sangat menarik dan mampu menambat hati setiap pengunjung.

"Komponen Rural Tourism diperkenalkan khusus bagi tujuan ini dengan penyertaan oleh hampir semua agensi Lembaga Kemajuan Wilayah (LKW) dan Program Desa Lestari serta pengenalan kepada Konsep Desa Sejahtera iaitu konsep desa ideal yang ingin diperkenalkan kepada masyarakat luar bandar," katanya pada Khamis.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Majlis Prapelancaran KUD@Putrajaya 2023 bertempat di Sri Pentas, Bandar Utama yang dirasmikan Timbalan Menteri KKDW, Datuk Rubiah Wang.

Rubiah memalu gong sebagai gimik merasmikan Majlis Prapelancaran KUD2023@Putrajaya di Sri Pentas Bandar Utama, Petaling Jaya pada Khamis. Foto Sinar Harian/Asril Aswandi Shukor.
Rubiah memalu gong sebagai gimik merasmikan Majlis Prapelancaran KUD2023@Putrajaya di Sri Pentas Bandar Utama, Petaling Jaya pada Khamis. Foto Sinar Harian/Asril Aswandi Shukor.

Tambah Ramlan, karnival itu turut melibatkan 10 agensi di bawah KKDW iaitu Majlis Amanah Rakyat (Mara), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), Felcra Berhad dan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah).

Artikel Berkaitan:

Selain itu, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda), Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) dan Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora).

"Bagi memeriahkan karnival ini, beberapa aktiviti tarikan pengunjung telah dirancang, antaranya Forum Perdana Ehwal Islam, persembahan nasyid oleh Rabbani, Unic, Inteam dan Daqmi serta Perkampungan Mini Orang Asli (JAKOA).

"Kita juga adakan Pavilion Program Rural Business Challenge (RBC), Pertandingan eSport, persembahan dikir barat dan paling menarik adalah cabutan bertuah dengan hadiah utama berupa sebuah kereta," jelasnya.

Ujar Ramlan, sepertimana pelaksanaan KUD sebelum ini, ia akan dimeriahkan dengan penggunaan kupon penggalak jualan yang keseluruhannya bernilai sehingga RM200,000 yang diberikan secara percuma kepada semua pengunjung.

Rubiah merasmikan Majlis Prapelancaran KUD2023@Putrajaya di Sri Pentas Bandar Utama, Petaling Jaya pada Khamis. Foto Sinar Harian/Asril Aswandi Shukor.
Rubiah merasmikan Majlis Prapelancaran KUD2023@Putrajaya di Sri Pentas Bandar Utama, Petaling Jaya pada Khamis. Foto Sinar Harian/Asril Aswandi Shukor.

Pihaknya juga menyasarkan transaksi jualan sehingga RM10 juta yang meliputi jualan tunai, padanan perniagaan dan tempahan.

KUD@Putrajaya 2023 dijadual akan dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 26 November ini, jam 11 pagi.

INFO: TARIKAN UTAMA

- Forum Perdana Ehwal Islam dengan panelis jemputan, Harryanto Rizal Rokman, Dr. Mohd Erfino Johari, Datuk Dr. Zahazan Mohamed dan moderator, Amin Idris.

- Persembahan nasyid kumpulan Rabbani, Unic, Inteam dan Daqmi

- Perkampungan Mini Orang Asli (JAKOA)

- Pavilion Program Rural Business Challenge (RBC)

- Pertandingan eSport, Soccer Drone, Soopa Doopa, paintball, memanah, pertandingan memancing

- Bazar Rakyat Peduli Prihatin Felcra Berhad

- Pertandingan pakaian beragam kanak-kanak, pertandingan dan demonstrasi memasak serta dandanan diri dan seni tangan Kemas

- Laman Panggang (BBQ), Laman Buah-Buahan dengan kerjasama Fama

- Peragaan Fesyen di bawah Program MARA In Fashion (MIF)

- AORA Spa, HiT Barber dan Beauty in Business MARA

- Fun Run 5 dan 15 kilometer

- Persembahan artis jemputan Datuk Ramli Sarip, Datuk Nash, Datuk Khadijah Ibrahim, Ella, Ziana Zain, Khai Bahar, Syamel, Ernie dan Kumpulan Floor 88

- Malam Kesenian KUD, Kombo Risda, kumpulan dikir barat jemputan Kesedar dan persembahan tarian zapin Kejora

- Cabutan Bertuah (hadiah utama sebuah kereta)

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!