Jangan biarkan Hatyai 'tenggelamkan' Langkawi - Cake
ALOR SETAR - Penggiat industri pelancongan di Langkawi diingatkan tidak mengambil kesempatan terhadap pelancong sehingga menyebabkan mereka memilih destinasi lebih murah seperti Hatyai di Thailand.
Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, ini kerana perbandingan kos pengangkutan, penginapan dan makan di Langkawi adalah lebih tinggi berbanding ke Hatyai.
Menurutnya, pengusaha seharusnya lebih bertolak ansur merancakkan kembali sektor pelancongan di pulau lagenda itu dengan menawarkan pakej menarik dan tidak membiarkan Hatyai 'menenggelamkan' Langkawi sebagai destinasi pelancongan dunia.
“Apabila ramai pelancong masuk ke Langkawi, tidak dinafikan kebanyakan peniaga ambil kesempatan disebabkan sebelum ini perniagaan mereka agak terjejas akibat pandemik Covid-19.
“Disebabkan itu dalam era pemulihan pasca Covid-19 ini, kebanyakan pengusaha pelbagai sektor menaikkan harga antara 20 hingga 40 peratus.
"Ïni termasuk makanan yang menjadi lebih mahal berbanding sebelum pandemik,” katanya di sini pada Khamis.
Mohamad Yusrizal berkata, trend ini sebenarnya bukan berlaku disebabkan Covid-19 sebaliknya berlaku sepanjang tahun.
“Contohnya, kalau anda kunjungi Langkawi pada musim cuti persekolahan dan perayaan (peak season) harga ketika itu memang agak tinggi berbanding luar musim (low season).
“Sebab itu ada pelancong domestik tak pilih Langkawi untuk bercuti bersama keluarga sebab kos semakin mahal. Apatah lagi jika pengguna pernah alami sendiri menyebabkan mereka serik untuk berkunjung lagi,” jelasnya.
Menurutnya lagi, penurunan kemasukan pelancong domestik ke Langkawi disebabkan oleh kekangan harga, bukan sahaja makanan, malah penginapan dan pengangkutan.
“Kos penginapan hotel di Langkawi lebih tinggi dibandingkan Hatyai.
"Di Hatyai masih banyak pilihan bilik bawah RM100 berbanding Langkawi. Pengunjung tiada pilihan sebab hotel bajet di Langkawi terhad jadi terpaksa sewa pada harga lebih tinggi.
“Kalau ada pun bawah RM100 mungkin bilik kecil dan keadaan kurang selesa, kalau musim cuti memang tiada langsung bilik bajet, sentiasa penuh. Ini termasuk homestay (inap desa) yang juga berlaku kenaikan harga,” ujarnya.
Mohamad Yusrizal berkata, keistimewaan Langkawi sebagai syurga membeli-belah kini tidak lagi dirasai memandangkan harga jualan kini jauh berbeza.
“Sebagai pulau bebas cukai, Langkawi jadi pilihan pengunjung membeli-belah terutama pinggan mangkuk, coklat dan rokok, tetapi harga sekarang bukan macam dulu lagi. Harga pun tak jauh beza dengan tanah besar, ia tidak menyumbang untuk orang ramai redah laut untuk ke Langkawi,” jelasnya.
Menurutnya lagi, berbeza di Hatyai atau Danok sekalipun masih menawarkan pelbagai barangan pada harga murah selain makanan dijual murah dan sedap.
“Kalau harga berbeza ikut musim tentulah jejas kemasukan pelancong ke Langkawi sebab pelancong mahu minimumkan kos.
“Berbeza di Hatyai, harga kekal sepanjang masa.
"Malah ada pakej pelancongan tawarkan harga makanan sebagai tarikan pengunjung dengan pakej makan empat kali sehari hanya RM100 ke bawah,” katanya.
Menurutnya lagi, Langkawi kini dikunjungi hanya kerana keindahan tempat peranginan, alam semulajadi dan pantainya namun suasana itu adalah lazim untuk pelancong tempatan kerana boleh dinikmati di pulau peranginan lain seperti Tioman atau Pangkor.
“Dari aspek pengangkutan pula, tambang agak tinggi sama ada penerbangan udara atau feri kerana harga tiket juga dah naik.
“Perjalanan rentas lautan juga diambil kira pelancong untuk jimatkan masa dan kos.
"Saya percaya kekurangan pelancong pasti dirasai pengusaha di Langkawi yang sebahagian besar bergantung kepada sektor pelancongan sebagai punca pendapatan,” jelasnya.
Sehubungan itu, Mohamad Yusrizal berharap pengusaha sektor pelancongan di Langkawi menawarkan pakej penginapan, kereta sewa serta makanan yang lebih berpatutan agar dapat menggamit kunjungan pelancong domestik.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!