Budak 2 tahun maut tertinggal dalam kereta ibu
PETALING JAYA - Seorang kanak-kanak perempuan maut akibat tertinggal lebih tujuh jam dalam kereta di kawasan perumahan Ara Damansara dekat sini pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, laporan sebelum itu dibuat ibu mangsa kira-kira jam 3.49 petang mendakwa anaknya yang berumur dua tahun itu berada dalam keadaan tidak sedarkan diri di lokasi kejadian.
"Siasatan dijalankan mendapati kira-kira jam 7 pagi, wanita terbabit membawa dua anaknya bersama mangsa untuk dihantar ke sekolah berhampiran sebelum menuju ke sebuah tadika untuk menghantar mangsa.
"Bagaimanapun ketika wanita terbabit tiba di tadika, dia kemudiannya berhenti sekejap untuk menyelesaikan urusan perniagaan dalam talian sehingga terlupa untuk menurunkan mangsa," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.
Katanya, wanita terbabit kemudiannya terus bergerak pulang ke rumahnya tanpa menyedari mangsa berada dalam kenderaan yang dipandunya itu.
"Ibu mangsa hanya menyedari mangsa berada dalam kereta kira-kira jam 3.35 petang dalam keadaan tidak sedarkan diri.
"Bapa mangsa kemudian menghubungi talian kecemasan 999 serta memberikan rawatan awal terhadap mangsa sebelum petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pihak polis tiba di lokasi kejadian," katanya.
Menurutnya, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sungai Buloh sebelum disahkan meninggal dunia.
"Setakat ini pihak polis memberi ruang kepada ibu mangsa untuk bertenang dan siasatan lanjut masih dijalankan berkaitan kejadian ini.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!