Jangan sorok anak terlibat dadah - Lam Thye

Lam Thye. Gambar kanan: Laporan Sinar Harian pada Ahad lalu.
Lam Thye. Gambar kanan: Laporan Sinar Harian pada Ahad lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - Masih ramai ibu bapa enggan menghantar anak mereka yang terlibat dengan penagihan dadah ke pusat rawatan dan pemulihan kerana malu diketahui umum.

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, sindrom penafian menyebabkan ibu bapa bertindak menyembunyikan kegiatan anak berbanding mendapatkan bantuan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

"Dapatkan bantuan dari pihak yang berkenaan, bantu anak-anak keluar daripada aktiviti penyalahgunaan dadah dan jangan berasa malu kerana kalau bukan ibu bapa, siapa lagi akan menolong mereka.

“Bagi anak-anak yang mempunyai masalah dengan ibu bapa, mereka boleh mendapatkan bantuan secara terus dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat, AADK, saudara-mara atau mana-mana individu yang boleh dipercayai," katanya kepada Sinar Harian.

Sebelum ini media melaporkan, seramai 2,142 individu berumur 18 tahun ke bawah ditahan melibatkan pengedaran, memiliki dan penyalahgunaan dadah sepanjang tempoh antara Januari sehingga September lalu.

Lebih membimbangkan tangkapan juga melibatkan remaja seawal usia 13 tahun yang turut terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah.

Menurut Lam Thye, penglibatan anak muda bawah umur dalam kegiatan itu adalah sesuatu yang sukar untuk diterima dan pencegahan secara konkrit perlu dilakukan segera.

Ujarnya, ibu bapa perlu mengambil berat dan memantau lebih kerap kegiatan anak-anak serta sentiasa memupuk mereka dengan nilai positif supaya tidak mudah terlibat dengan masalah sosial.

Artikel Berkaitan:

"Kerajaan juga perlu memperkasakan lagi program kesedaran bermula dari peringkat sekolah dan membina lebih banyak pusat pemulihan bagi membantu memulihkan mereka yang terlibat dengan dadah,” jelas beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!