Sudah jatuh ditimpa tangga - Mangsa banjir
SEPANG - Mangsa-mangsa yang terjejas dengan bencana banjir di Kampung Cemperai, Dengkil di sini berharap nasib mereka yang diibaratkan 'sudah jatuh ditimpa tangga' tidak dilupakan.
Penduduk, Azmah Yaakub, 41, mendakwa kediaman mereka di kampung berkenaan sudah ditenggelami air sebanyak tiga kali dalam tempoh seminggu lalu.
Ujarnya, kos kerugian ditanggung adalah tinggi dan berharap langkah penyelesaian dapat diambil pihak berkuasa berkaitan mengurangkan kerosakan ditanggung penduduk.
"Setelah seminggu tiga kali banjir, sedih dan kecewa apabila 90 peratus barang dalam rumah rosak dengan anggaran kerugian berjumlah RM15,000.
"Kami sudah cuba sebaik mungkin dengan meletakkan barang rumah di tempat tinggi namun jangkaan paras air naik sampai mana bukan kami yang menentukan," katanya ketika ditemui pada Khamis.
Asmah yang ditemui Sinar Harian di kediamannya berkata, dia dan suami, Azhar Abdullah, 51, juga perlu mengeluarkan perbelanjaan tinggi untuk tujuan pembersihan rumah.
"Dalam setahun kalau banjir berlaku banyak kali begitu juga keadaan kami yang terpaksa membersihkan rumah banyak kali dalam tempoh tersebut," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Komuniti Kampung Cemperai, Ashraf Seleman, 45, berkata, banjir melanda kampung itu turut disebabkan ban atau permatang sungai yang pecah.
Sehubungan itu katanya, penduduk sangat menekankan perkara itu dan berharap pihak berkuasa berkaitan dapat memperkukuhkan ban dengan binaan ban konkrit selain menggunakan guni pasir.
"Dalam masa sama, kami amat mengharapkan bantuan daripada luar terutamanya bantuan tenaga, bantuan peralatan mencuci serta bekalan makanan dan minuman.
"Jadi itu antara perkara yang kami sangat perlukan setiap kali banjir melanda, bagi penduduk mereka sudah mengalami kerugian yang besar dan tidak mampu," katanya.
Pada Selasa, Ahli Parlimen Sepang, Datuk Aiman Athirah Sabu seperti dilaporkan sebuah portal menggesa rancangan tebatan banjir Sungai Langat Fasa 2 (RTBSLF2) dilaksanakan segera, susulan beberapa kawasan di daerah Sepang kerap dilanda bencana banjir.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, hal ini kerana Surat Setuju Terima (SST) bagi projek tersebut sudah pun dikeluarkan pada awal bulan lalu.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2024 pada bulan lalu dilaporkan berkata, RTBSLF2 turut tersenarai dalam 33 projek utama tahun depan melibatkan kos keseluruhan RM11.8 bilion.
Anwar berkata, sebanyak RM20 juta disediakan kepada 150 pihak berkuasa tempatan untuk melaksanakan kerja pembaikan parit dan longkang rosak, demi mengurangkan risiko air bertakung dan banjir kilat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!