1MDB: Goldman Sachs mohon jadi pencelah dalam permohonan SPRM

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Goldman Sachs Group, Inc (Goldman Sachs) memohon untuk menjadi pencelah dalam permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi mendapatkan dokumen daripada peguam Chetan Jethwani dan firma guamannya berkaitan proses penyelesaian antara Kerajaan Malaysia dan Ambank serta Goldman Sachs berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How berkata, pihaknya menerima notis usul dan afidavit daripada Goldman Sachs pada 7 November lepas dan memerlukan masa untuk meneliti kedua-dua dokumen itu.

"Hari ini ditetapkan untuk pendengaran bagi prosiding memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi lain, namun pendakwaan mohon penangguhan kerana kes ini dicelah oleh Goldman Sachs.

"Pendakwaan mohon isu mencelah ini dapat diselesaikan dahulu sebelum permohonan memindahkan kes didengar,” katanya semasa pengurusan kes di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Muhammad Jamil Hussin.

Peguam Datuk Seri K Kumaraendran, mewakili Chetan tidak membantah permohonan pendakwaan untuk menangguhkan prosiding memindahkan kes.

Sementara itu, peguam Krishna Dallumah yang mewakili Goldman Sachs mengesahkan perkara itu dan memohon supaya 8 Jan 2024 ditetapkan untuk mendengar permohonon pencelah.

"Goldman Sachs ingin menjadi pencelah kerana haknya terjejas khususnya di bawah Seksyen 126 Akta Keterangan 1950 iaitu hak pada dokumen-dokumen yang terlindung,” katanya, yang turut mengendalikan kes bersama peguam Datuk Prem Ramachandran.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah menetapkan 8 Januari untuk mendengar permohonan Goldman Sachs sebagai pencelah dan 2 Feb bagi permohonan pendakwaan untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi lain.

Pada 11 Oktober lepas, SPRM memfailkan permohonan itu dengan menamakan Chetan dan firma guamannya, Chetan Jethwani & Co sebagai responden.

Menerusi dokumen yang diperoleh media, SPRM memohon responden mengemukakan 10 dokumen antaranya surat pelantikan Chetan sebagai peguam Goldman Sachs, penyata akaun serta akaun firma guaman itu.

Dokumen itu diperlukan SPRM untuk mengenal pasti pelantikan responden sebagai peguam Goldman Sachs dalam urusan penyelesaian dengan pihak Kerajaan Malaysia berkaitan 1MDB.

Dalam afidavit difailkan bagi menyokong notis usul berkenaan, Pegawai Penyiasat SPRM Mohamad Sabri Mohd Latif berkata siasatan dijalankan terhadap Chetan dan firma guamannya berhubung penglibatan peguam itu dalam proses penyelesaian antara Kerajaan Malaysia dengan Ambank serta Goldman Sachs dalam isu 1MDB. - Bernama.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!