Agrobank peruntuk RM3 juta bantu penjaja guna skim sifar tunai
AGROBANK peruntuk RM3 juta bagi membantu penjaja seluruh negara menggunakan transaksi skim sifar tunai dalam aktiviti jualan sempena Kempen Penjaja Cashless bermula 1 Ogos tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, inisiatif tersebut dilakukan bagi menaik taraf perniagaan penjaja kecil melalui perkhidmatan kod QR DuitNow Agrobank.
Menurutnya, menerusi kempen tersebut, seramai 10,000 penjaja disasarkan di seluruh negara menjelang akhir tahun 2023.
"Setakat ini, hampir 200 penjaja yang menggunakan khidmat pembayaran sifar tunai daripada Agrobank bagi memudahkan urusan jualan.
"Fasa pertama kami menyasarkan seramai 1,500 penjaja di Kuala Lumpur dan Lembah Klang, manakala peringkat kedua sebanyak 5,000 penjaja," katanya dalam Program Pelancaran Penjaja Cashless Agrobank di Jalan Tengah, di sini pada Khamis.
Dalam pada itu, menurut Tengku Ahmad, penjaja yang ingin menyertai kempen itu berpeluang menerima kanopi berukuran 10 kaki secara percuma.
Ujarnya, inisiatif ini terbuka kepada semua pelanggan atau pendeposit sedia ada.
"Mereka perlu membuka akaun deposit AgroPerdana-i atau AgroTani-i Plus dengan jumlah minimum RM1,000.
"Penyertaan ini terbuka kepada peniaga makanan, minuman dan barangan halal yang sesuai dengan syarat yang ditetapkan," jelasnya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Jalan Tengah, Wan Hamzani Harun, 55, berkata, sistem tersebut adalah baik dalam urusan transaksi.
Sehubungan itu, dia turut menyokong pembaharuan yang dilakukan oleh Agrobank bagi membantu menaik taraf perniagaan sedia ada.
"Kaedah cashless ini sudah meningkat dalam kalangan rakyat dan memudahkan transaksi kerana pembeli tidak perlu menggunakan tunai dan menunggu baki pulangan seperti sebelum ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!