Suriana, Jay insaf, tak mahu kecewakan keluarga lagi

Jay (dua dari kiri) bersama ahli keluarga yang menantinya keluar dari Penjara Sungai Udang, pada Khamis.
Jay (dua dari kiri) bersama ahli keluarga yang menantinya keluar dari Penjara Sungai Udang, pada Khamis.
A
A
A

MELAKA - Seorang ibu kepada empat orang anak yang dipenjarakan atas kesalahan dadah, bersyukur dapat kembali ke pangkuan keluarga sebelum tempoh hukuman berakhir pada tahun depan.

Wanita dikenali sebagai Suriana, 42, antara 14 banduan yang terpilih sebagai Orang Bebas Berlesen (OBB) melalui program Perlepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) Ihsan Madani sempena perayaan Deepavali di Penjara Sungai Udang, di sini pada Selasa.

Dia yang sudah lima kali dimasukkan ke penjara bermula 2019 kini benar-benar insaf setelah melihat anak-anak tidak pernah berputus asa mahunya berubah.

"Sejak umur 15 tahun lagi saya telah terjerumus dalam kes dadah kerana tersilap memilih kawan dan enggan meninggalkan kehidupan gelap itu walaupun sudah mempunyai anak.

"Saya ingat lagi, masa anak-anak kecil, mereka sering diabaikan dan tidak pergi ke sekolah. Sekarang bila mereka dah besar, barulah saya insaf dan tak mahu kecewakan mereka lagi," katanya.

Tambah Suriana lagi, kesukaran mendapatkan pekerjaan juga menyebabkan dia sering keluar masuk penjara, lebih-lebih lagi tidak semua majikan boleh menerima pekerja yang mempunyai rekod dadah.

Suriana (dua dari kiri) ketika melangkah keluar dari Penjara Sungai Udang, di sini pada Khamis.
Suriana (dua dari kiri) ketika melangkah keluar dari Penjara Sungai Udang, di sini pada Khamis.

"Kali ini saya bersyukur dibebaskan lebih awal dan sudah ada majikan yang mahu mengambil saya bekerja di restoran walaupun saya mempunyai sejarah hitam," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, bagi Jay, 33, yang berasal dari Batu Pahat, Johor pula tekad mahu memperbaiki diri selepas dibebaskan lebih awal.

Dia yang dimasukkan ke penjara tahun lalu mengakui ini kali keempat menjadi penghuni tirai besi.

"Sokongan keluarga yang tak penah kenal erti penat beri keazaman buat saya untuk tidak mengulangi kesilapan sama lagi.

"Saya gembira dengan pembebasan ini. Syukur keluarga masih datang beri sokongan untuk lihat saya berubah. Saya tak mahu buat mak sedih lagi," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!