Dasar TVET negara sedang dirangka - Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Dasar bagi memperkasa Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) sedang dirangka, dan ia dijangka dapat dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada bulan Februari nanti.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ketika ini sekretariat TVET negara yang terdiri daripada 10 pakar dalam pelbagai bidang kemahiran sedang merangka dasar berkenaan untuk dibentangkan ke Kabinet bagi mendapat pandangan dan kelulusan.
"Saya sangat serius dalam usaha memartabatkan pendidikan TVET dan akan sentiasa berada di barisan hadapan untuk menterjemahkan matlamat menjadikan lepasan TVET sebagai pilihan utama majikan untuk mendapatkan pekerja mahir.
"Dasar ini kelak akan mencakupi pelbagai perkara termasuk soal gaji dengan antara perkara yang menjadi tumpuan adalah soal gaji minima iaitu lepasan TVET mestilah di atas paras RM3,000 sebulan,” katanya.
Beliau berkata demikan ketika berucap pada majlis penyerahan watikah lantikan Ahli Penasihat Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran dan majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) Program Malaysia-China Youth TVET Training di bangunan Parlimen di sini pada Khamis.
Mengulas lanjut tentang perkara itu Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, persefahaman mengenai perkara itu telah dicapai bersama majikan dan pemain industri, termasuk syarikat dari Jerman yang beroperasi di negara ini.
"Perjanjian ini kita buat secara terus dengan majikan dan syarikat Jerman beroperasi di Malaysia, yang pada dasarnya bersetuju gaji minimum RM3,000 selepas mengambil kira manfaat kepada syarikat daripada kemahiran dimiliki lepasan TVET," katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara berkata, ketika ini dianggarkan lebih 200 syarikat Jerman beroperasi di Malaysia.
Selain itu, katanya, dasar berkenaan akan menjadikan lulusan TVET sebagai tenaga kerja mahir paling diperlukan industri dan majikan pada akhir 2030.
Bagi memastikan dirinya sentiasa 'dekat' dengan penyediaan dasar itu, Kabinet juga telah bersetuju membenarkan Sakretariat TVET Negara yang beroperasi di Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Sumber Manusia dipindahkan ke Pejabat Timbalan Perdana Menteri.
Ahmad Zahid berkata, ia bagi membolehkan beliau memantau dan terlibat secara langsung di dalam proses berkenaan.Sementara itu dalam usaha mengantarabangsakan TVET, Majlis Amanah Rakyat (MARA) telah diarah mewujudkan Turkiye Malaysia Institute, Korean Malaysia Institute dan China Malaysia Institute di negara ini seperti kampus German-Malaysian Institute (GMI) yang telah lama bertapak di sini.
Beliau berkata, langkah itu bagi membolehkan pelajar mempunyai lebih banyak pilihan dalam bidang kepakaran, selain membuang persepsi negatif dalam kalangan masyarakat yang kelihatan masih memandang rendah kualiti, taraf pendidikan da pelajar lepasan TVET.
Pada majlis itu, Ahmad Zahid turut menyaksikan perjanjian kerjasama antara Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (PKPB) dengan Tang International Education (China) melalui Program Malaysia-China Youth TVET Training (MCYT) yang antara lain membuka jalan untuk mengantarabangsakan belia berkemahiran TVET ke China.
MOU hari ini membabitkan 11 institusi latihan yang ditauliahkan di bawah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) Kementerian Sumber Manusia dengan Tang International dan MCYT dan menyasarkan seramai 2,000 belia berkemahiran dihantar ke China tahun depan untuk dilatih dalam pelbagai bidang seperti automotif, animasi dan sistem komputer. - Bernama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!