Dua jam yang mendebarkan!
BIDOR - Seorang wanita cemas apabila anak perempuannya berusia tiga tahun hilang di ladang kelapa sawit, Kampung Bidor Stesen di sini hari ini.
Kejadian kira-kira jam 11.20 pagi itu disedari oleh ibunya yang baru selesai memungut buah kelapa sawit.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, operasi mengesan kanak-kanak hilang terus digerakkan sebaik menerima laporan tersebut.
Menurutnya, operasi melibatkan 35 pegawai dan anggota terdiri daripada PDRM, Bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) bermula pada jam 12.30 tengah hari dengan dipecahkan kepada tiga kumpulan untuk mencari sekitar kawasan ladang berkenaan.
“Mangsa berjaya dijumpai oleh anggota polis di kawasan semak yang terletak kira-kira 1.5 kilometer dari lokasi terakhir dia dilihat,” katanya.
Wan Azharuddin berkata, mangsa ditemui dalam keadaan lemah dengan kesan lebam di bahagian kaki kirinya.
“Mangsa diberi rawatan awal oleh anggota APM dan kemudian dibawa ke Hospital Tapah bagi menerima rawatan lanjut,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!