Program Tabika Pra Tahfiz di 10,843 Tabika Kemas - Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR - Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah akan melaksanakan Program Tabika Pra Tahfiz di 10,843 Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) bagi memperkasa pendidikan al-Quran kepada kanak-kanak.
Menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kurikulum sedia ada di tabika berkenaan akan diperkukuh dan dimasukkan dengan program baharu itu agar ilmu akidah, ibadah, solat dan keagamaan dapat diterapkan sejak di peringkat tabika lagi.
"Dua hari yang lalu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara Kemas dan Yayasan Pahang.
"Yayasan Pahang telah melaksanakan program yang sama di 21 Tabika Yayasan Pahang di negeri itu bersama Yayasan Pinta (gabungan Persatuan Institusi Tahfiz al-Quran Kebangsaan) yang menaungi maahad tahfiz di seluruh negara dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi penyediaan pedagogi atau kaedah pengajaran kepada guru Kemas,” kata Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 peringkat jawatankuasa bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini.
Program itu juga menjadi antara Hala Tuju Strategik (HATS) kementerian dalam Membangun Modal Insan Desa Secara Komprehensif bagi memperkasakan pendidikan al-Quran kepada kanak-kanak.
Selain itu ia juga bertujuan melahirkan huffaz (hafiz & hafizah) yang mahir dalam pembacaan, pengajian ilmu al-Quran dan pengajian Islam bagi memelihara kesucian al-Quran.
Menerusi Belanjawan 2024 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 13 Oktober lepas, Kerajaan Perpaduan memperuntukkan RM20 juta bagi melaksanakan Program Pra Tahfiz Kemas. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!