Kandungan berkait Palestin diturunkan: Fahmi jumpa wakil TikTok, Meta
KUALA LUMPUR - Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil hari ini mengadakan pertemuan dengan wakil penyedia platform media sosial TikTok dan syarikat konglomerat Meta bagi membincangkan isu melibatkan kawal selia kandungan.
Fahmi menerusi hantaran Facebooknya memaklumkan antara yang dibincangkan dalam pertemuan itu ialah isu kandungan berkaitan Palestin yang diturunkan daripada TikTok, kegiatan judi dalam talian dan strategi coordinated inauthentic behaviour (CIB - tingkah laku tidak tulen terselaras) dalam platform itu.
"Dalam perbincangan itu beberapa aduan dan isu utama melibatkan dua platform telah saya bangkitkan dan minta TikTok serta Meta untuk mengambil tindakan segera. TikTok dan Meta beri komitmen untuk beri kerjasama lebih rapat dan erat untuk selesaikan isu-isu yang berbangkit,” katanya.
Sebelum ini, Fahmi mendedahkan terdapat bukti dan aduan pengguna bahawa penyedia platform media sosial TikTok secara sistematik menurunkan kandungan berkaitan konflik Palestin-Israel dari Malaysia.
Susulan itu, beliau mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk membuat teguran keras kepada TikTok dan Meta selain mengaturkan pertemuan dengan penyedia platform media sosial itu untuk berbincang mengenai isu berkenaan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!