'Berhenti salahkan kerajaan' - Veteran UMNO
SHAH ALAM - Veteran UMNO Malaysia meminta pembangkang untuk berhenti menyalahkan kerajaan susulan tindakan empat Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Setiausahanya, Datuk Mustapha Yaakub berkata, tuduhan kononnya isu tersebut didalangi boker politik merupakan alasan dangkal untuk menutup kelemahan pemimpin pentadbiran parti berkenaan.
“Tindakan itu ada kewajarannya dan mereka lebih mementingkan kebajikan rakyat serta kestabilan politik.
“Veteran meramalkan ada lagi ahli Parlimen dari parti Bersatu yang akan mengambil tindakan sama seperti ahli Parlimen Kuala Kangsar, Labuan, Gua Musang dan Jeli dalam masa terdekat,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Mustapha berpandangan, ahli Parlimen yang menyokong Anwar Ibrahim mencari inisiatif untuk merealisasikan segala janji dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.
Jelasnya, mereka juga sedar bahawa kemenangan itu dengan ehsan penyokong Pas dan bukan atas kekuatan Bersatu sendiri.
“Hakikatnya, mereka kecewa dengan kemenangan itu kalau sekadar menjadi wakil rakyat tetapi tidak dapat menyumbang khidmat kepada rakyat dan pengundi di kawasan masing-masing.
“Jadi, jalan yang terbuka ialah dengan menyokong kerajaan Anwar,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!