Bersatu cadang Akta Lompat Parti dikaji semula

Muhyiddin (duduk, tengah) ketika ditemui selepas mengadakan Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi Bersatu pada Khamis di Publika.
Muhyiddin (duduk, tengah) ketika ditemui selepas mengadakan Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi Bersatu pada Khamis di Publika.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mencadangkan Akta Lompat Parti diteliti semula kerana wujud kelemahan.

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, cadangan itu dibuat susulan tindakan ahli Parlimen parti itu yang menyatakan sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan yang belum diputuskan mahkamah.

“Bersatu mencadangkan supaya Akta Lompat Parti yang telah diluluskan oleh Parlimen beberapa tahun lalu untuk dikaji kerana terdapat beberapa kelemahan yang Bersatu rasakan perlu diteliti semula.

“Sebagai contoh dalam kes yang belum diputuskan oleh pihak mahkamah terhadap ahli Bersatu yang bertindak untuk menyertai Kerajaan Perpaduan.

"Kes itu masih menunggu keputusan mahkamah,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Perikatan Nasional (PN) di Publika pada Khamis.

Sebelum ini, akhbar melaporkan dua lagi daripada ahli Parlimen Bersatu iaitu Jeli dan Gua Musang telah mengisytiharkan sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh memberitahu bahawa di peringkat Speaker telah memutuskan mereka tidak melanggar Akta Lompat Parti.

Menurutnya, kedudukan Speaker sebagai orang berkepentingan daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah mempengaruhi keputusan yang dibuat.

“Ini masalah yang kita bincangkan tadi bahawa Speaker dalam kes ini adalah orang yang berkepentingan yang mana beliau dari parti PKR.

Artikel Berkaitan:

“Bagi saya ini tidak adil apabila kita mendapati mereka itu melanggar perlembagaan dan melewati batas, namun pandangan itu tidak sama dengan Speaker,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!