Liverpool kecundang kepada Toulouse
LUIS Diaz memulakan aksi dalam kesebelasan utama Liverpool beberapa jam selepas bapanya yang diculik dibebaskan namun tewas 3-2 kepada Toulouse dalam saingan Liga Europa pada Jumaat.
Kemenangan kelab Perancis itu hadir hasil jaringan Aron Donnum, Thijs Dallinga dan Frank Magri ketika Liverpool mengalami kekalahan pertama dalam kempen Liga Europa musim ini.
Bagaimanapun, perlawanan itu diselubungi kontroversi terutama dengan campur tangan VAR membatalkan gol penyamaan Liverpool pada masa kecederaan daripada Jarell Quansah.
“Memang kami patut kalah kerana mereka memenangi hampir semua cabaran yang menentukan perlawanan ini,” kata pengendali Liverpool Jurgen Klopp ketika pasukannya terlepas peluang untuk menempah tempat ke peringkat kalah mati lebih awal.
Toulouse kini berada di kedudukan kedua dengan tujuh mata, dua mata di belakang Liverpool yang berada di kedudukan teratas.
Gol pertama Toulouse hadir pada minit ke-36 apabila Donnum merampas bola daripada Kostas Tsimikas sebelum menewaskan penjaga gol Liverpool, Caoimhin Kelleher.
Tuan rumah mendapat gol kedua apabila Dallinga tenang menyudahkan peluang pada minit ke-58 sebelum gol sendiri daripada Cristian Casseres pada minit ke-73 memberi Liverpool talian hayat.
Toulouse bertindak balas apabila tiga minit kemudian, Kelleher tidak dapat menyelamatkan hantaran lintang dan disambar Magri untuk gol ketiga.
Diogo Jota menjaringkan gol kedua untuk Liverpool pada minit ke-89 namun gagal mencari gol penyamaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!