Bantu pelajar luar bandar kuasai STEM
PENDANG - Yayasan UEM (YUEM) dan Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB) berjaya menarik minat 300 orang pelajar luar bandar di negeri ini untuk menguasai pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta bahasa Inggeris (BI).
Usaha YUEM dan YSB itu jelas dilihat menerusi kejayaan pelaksanaan Program YUEM STEM & English Programme yang diadakan selama enam bulan melibatkan pelajar tingkatan satu hingga tingkatan tiga.
Pengarah Urusan UEM Group Berhad dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah YUEM, Datuk Mohd Izani Ghani berkata, program dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah dimulakan sejak Jun 2023 dengan 80 peratus peserta adalah pelajar daripada keluarga yang kurang berkemampuan.
“Para peserta dalam program ini datang daripada 10 buah sekolah menengah di beberapa daerah di Kedah meliputi Kota Setar, Pendang, Kuala Muda Yan, Baling dan Sik. Program ini tidak menggunakan pendekatan yang bergantung kepada pembelajaran dalam kelas serta buku-buku teks seperti kelaziman.
“Sebaliknya, minat para pelajar dalam STEM dan bahasa Inggeris dicungkil menerusi aktiviti menarik yang lebih dekat dengan mereka seperti pembentangan, permainan berperanan, pembangunan laman web, pembinaan robot dan pemprograman menggunakan 100 set Arduino sumbangan YUEM," katanya.
Beliau berkata sedemikian bersempena Majlis Penutup YUEM STEM & English Programme di Pendang Lake Resort, di sini pada Rabu yang turut disaksikan oleh Tunku Temenggong Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah merangkap Pengerusi YSB; Pengerusi YUEM, Datuk Noorazman Abd Aziz serta Timbalan Pengawai Daerah Pendang, Mohd Zhafri Mohd Zohdi.
Minat terhadap STEM
Tambah Mohd Izani, para peserta program itu turut diperkenalkan dengan para pelajar lain dari seluruh dunia menerusi laman web, www.STEM.org sekali gus berkongsi minat sama. Pendedahan itu turut membantu mereka untuk menyertai pertandingan STEM peringkat kebangsaan.
Minat para pelajar itu katanya dibuktikan menerusi rekod kehadiran di antara 95 hingga 100 peratus dalam program YUEM STEM & English Programme.
“Malah, berdasarkan maklum balas daripada guru-guru, program ini telah membantu menambah baik pemahaman pelajar dalam subjek STEM. Program ini turut meningkatkan minat mereka dalam STEM serta menyuntik semangat mereka untuk menyiapkan pelbagai projek dan tugasan berkaitan.
"Selain itu, 90 peratus daripada guru menyatakan bahawa program tersebut membolehkan para pelajar menjelaskan pelbagai komponen terkandung dalam STEM," katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, YUEM sentiasa berusaha membantu menyediakan akses kepada pendidikan berkualiti terutamanya bagi para pelajar pedalaman serta yang kurang berkemampuan.
"Kami percaya kepentingan untuk mengambil pendekatan yang berbeza, mesra pelajar dan praktikal sekali gus berpuas hati dengan hasil penganjuran program STEM dan bahasa Inggeris tahun ini.
"Ia bukan sahaja telah menambah baik pemahaman serta penggunaan STEM dalam kalangan 300 pelajar pedalaman Kedah, tetapi mereka juga kini lebih yakin bertutur dalam bahasa Inggeris," katanya.
Sementara itu, Tunku Puteri Intan Safinaz menzahirkan harapan pihaknya untuk terus memberi inspirasi kepada pelajar terlibat selain mempersiapkan mereka dalam menghadapi Revolusi Industri 4.0 dan ke hadapan.
Terdahulu, majlis tersebut dimeriahkan dengan beberapa aktiviti termasuklah lawatan ke pameran STEM, tayangan video, penyampaian sijil dan hadiah pertandingan serta majlis santapan diiringi persembahan juara-Juara YUEM STEM & English Programme.
REAKSI
“Kita berharap program ini diteruskan memandangkan ia memberi kesan bermakna selain menanam semula minat pelajar dari sekolah luar bandar untuk menceburi bidang berkaitan STEM dan bahasa Inggeris.”-Timbalan Pengarah JPN Kedah, Sabri Osman.
“Program ini membantu meningkatkan kemahiran berfikir pelajar. Kita nampak potensi serta bakat pelajar di samping membina pemikiran kreatif selari dengan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT).”-Guru, Emyra Amran.
“Program ini bermanfaat kerana memberi dorongan serta peluang terutamanya dari segi kemahiran pengucapan awam. Selain itu, program ini memberi nilai tambah kepada para pelajar.”-Guru, Mohd Nazri Mohd Noor.
“ Saya boleh perbaiki kemahiran diri sendiri. Sebelum ini saya kurang mahir bercakap dalam bahasa Inggeris, namun sekarang saya yakin untuk bercakap dalam bahasa ini.”-Pelajar, Muhammad Adib Ezzhan Shahril Shariman,14.
“ Saya juga berasa lebih yakin bercakap bahasa Inggeris di hadapan umum. Program ini meningkatkan tahap keyakinan saya dan membantu dalam pelajaran.”-Pelajar, Muhamad Firdaus Shahran,15.
“Rasa seronok sebab dapat belajar tentang robot selain meningkatkan penguasaan saya dalam bahasa Inggeris. Insya-ALLAH ia membantu saya untuk cemerlang dalan pelajaran.”-Pelajar, Ezsyamybatriesya Hafifi ismail,15.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!