SAR mangsa runtuhan di Pulau Perhentian berdepan cuaca tak menentu
BESUT - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lagi mangsa yang dikhuatiri tertimbus dalam insiden runtuhan tapak pembinaan sebuah resort di Pulau Perhentian, di sini berdepan cabaran cuaca mendung dan hujan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Penyelamatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Muhammad Basri Kamarazaman berkata, operasi pada hari kedua yang disertai seramai 83 anggota itu diteruskan sejak jam 7 pagi pada Jumaat.
"Operasi hari ini agak mencabar kerana pencarian terpaksa dilakukan dalam keadaan cuaca mendung dan hujan yang dijangka berlarutan sehingga petang ini.
"Usaha pencarian mangsa dilakukan dengan bantuan anjing pengesan K9,” katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.
Terdahulu, sebuah bangunan setinggi tiga tingkat yang dibina di pulau peranginan itu runtuh menyebabkan empat mangsa terselamat manakala tiga lagi tertimbus dalam kejadian berlaku kira-kira jam 4.30 pagi pada Khamis.
Difahamkan, empat mangsa terdiri daripada tiga warga Rohingya dan seorang warga tempatan berjaya keluar untuk menyelamatkan diri daripada runtuhan tersebut.
Dua mangsa warga Indonesia yang dikhuatiri tertimbus dikenali sebagai Jamil, 33, dan Ramli, 48 berjaya ditemukan pasukan penyelamat jam 12.53 tengah hari dan 1.18 petang pada hari yang sama.
Setakat ini, pasukan penyelamat masih mengesan seorang lagi mangsa yang masih hilang dikenali sebagai Suparno berusia lingkungan 40-an.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!