Anggota penguat kuasa disyaki minta habuan seks diberkas
PUTRAJAYA - Seorang anggota penguat kuasa diberkas oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas dipercayai meminta habuan seks.
Ia didakwa sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan ke atas seorang wanita kerana gagal melaporkan diri disebabkan kesalahan dadah.
Suspek lelaki berusia dalam lingkungan 40-an itu dipercayai ditahan ketika bersama wanita berusia dalam lingkungan 20an dalam satu operasi khas di sebuah hotel di Johor Bahru jam 7.30 malam Khamis.
Sumber berkata, wanita tersebut dipercayai gagal melaporkan diri secara bulanan kepada agensi penguat kuasa berkenaan dan bagi mengelakkan daripada diambil tindakan, suspek telah meminta habuan seks.
"Wanita tersebut dipercayai pernah ditahan kerana kesalahan dadah dan sedang menjalani tempoh pengawasan selama dua tahun di sebuah agensi penguat kuasa di Johor Bahru," katanya.
Susulan penahanan tersebut, suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru bagi permohonan tahanan reman.
Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah, Chai Ing Hien membenarkan perintah tahanan reman selama empat hari bermula Jumaat sehingga Isnin depan.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!